KUALA LUMPUR – Sebanyak 22 kapal yang membawa 186 aktivis kemanusiaan yang menyertai pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 bagi memecahkan kepungan ke atas Gaza dipintas tentera Israel awal pagi tadi.
Dairipada jumlah itu, enam kapal yang ditahan serta diceroboh melibatkan 10 rakyat Malaysia.
Antara yang terlibat ialah Zainal Rashid Ahmad (Arkham III); Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1); Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai); Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN); Mohd Redzal Amzah (Freia) serta Muhamad Muhsin Zaidi (Marea).
Terdahulu, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan, kapal flotila itu telah dihampiri secara agresif oleh kapal tentera Israel ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece.
Menurutnya, insiden berlaku antara pukul 1 pagi hingga 11 pagi waktu Malaysia ketika flotilla berkenaan berada kira-kira 656 batu nautika dari pantai Gaza.
“Flotilla berada di zon pelayaran antarabangsa yang sah dan dijamin sepenuhnya di bawah undang-undang maritim antarabangsa UNCLOS,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, berlaku provokasi apabila pihak Israel melepaskan tembakan amaran ke arah kapal delegasi selain mengganggu frekuensi radio aktivis kemanusiaan yang tidak bersenjata.
Tambahnya, puluhan dron tidak dikenali turut dikesan beroperasi di kawasan flotilla, dipercayai untuk pemantauan dan gangguan komunikasi.
“Rakaman audio dan visual menunjukkan pihak Israel menggunakan naratif palsu bagi menjustifikasikan tindakan tersebut, sedangkan flotilla kekal berlayar di laluan antarabangsa tanpa melanggar sebarang protokol,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar terus mendoakan keselamatan delegasi serta merujuk saluran rasmi SNCC bagi mendapatkan maklumat sahih perkembangan misi. – MalaysiaGazette
















