Zulkifli Bujang

JOHOR BAHRU – Pencapaian ekonomi Johor ketika ini perlu diterjemah untuk keperluan rakyat melalui pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan dan peluang ekonomi yang lebih luas.

Pengerusi Penggerak Reset Malaysia (Johor), Datuk Zulkifli Bujang berkata, ini kerana pencapaian itu berjaya menarik pelaburan besar sehingga mewujudkan lebih 80,000 peluang pekerjaan.

“Ini adalah sesuatu yang membanggakan. Namun keutamaannya, manfaat tersebut perlu benar-benar sampai kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail semasa bertitah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Johor.

Menurut baginda, Johor mencatat prestasi memberangsangkan dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini dengan kejayaan menarik pelaburan berjumlah RM272 bilion.

Tunku Ismail bertitah, pencapaian itu turut merangkumi kejayaan Johor mencipta sejarah dengan merekodkan pelaburan sebanyak RM110 bilion pada tahun lalu.

Tunku Ismail memberitahu, jumlah berkenaan merupakan jumlah tertinggi yang pernah dicapai oleh mana-mana negeri di Malaysia.

“Pencapaian ini secara tidak langsung membuka lebih 80,000 peluang pekerjaan kepada Bangsa Johor serta rakyat Malaysia,” titah baginda lagi.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, titah Tuanku Ismail yang menyentuh isu berkenaan kepentingan rakyat dalam sidang DUN adalah jelas meletakkan kesejahteraan rakyat dalam kerangka pembangunan negeri sebagai perkara utama yang perlu diperkukuhkan.

Dalam situasi semasa katanya, kos sara hidup yang semakin menekan menjadikan usaha membasmi kemiskinan sebagai keutamaan yang amat tepat dan perlu terus diperkasakan.

“Kemajuan dalam sektor kesihatan, pendidikan dan perumahan secara lebih berkualiti wajar dijadikan asas kepada kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang,” ujar beliau.

Menurut Zulkifli, titah baginda terhadap keperluan mempercepatkan pembangunan infrastruktur pengangkutan awam termasuk Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura RTS amat disokong.

Jelasnya, ini bagi pertumbuhan ekonomi negeri secara menyeluruh sekali gus meningkatkan kecekapan mobiliti rakyat.

“Pada masa yang sama, saya menyambut baik peringatan Tuanku agar semua wakil rakyat terus memelihara kematangan politik dan melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Rakyat pada hari ini katanya, menilai berdasarkan hasil dan keberkesanan, bukan sekadar retorik.

Sehubungan itu, pihaknya akan terus memainkan peranan sebagai pemerhati bertanggungjawab, menyokong dasar yang memberi manfaat kepada rakyat serta menegur secara konstruktif bagi memastikan setiap pelaksanaan benar-benar memberi impak.

“Keutamaan kita mesti jelas dan setiap pembangunan harus diterjemahkan kepada kesejahteraan sebenar rakyat,” tambahnya.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast