GEORGE TOWN – Penganjuran festival air ala negara Thailand di Bukit Bintang, Kuala Lumpur terus mengundang kecaman dan ada menyifatkan usaha itu sebagai ‘mencairkan’ identiti tempatan demi menarik pelancong.
Pengerusi Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, L. Francis berkata, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dengan masyarakat majmuk tidak seharusnya meniru budaya asing yang tidak mencerminkan jati diri tempatan.
Katanya, usaha menarik pelancong tidak boleh dijadikan alasan untuk mengimport budaya luar tanpa menilai kesan jangka panjang terhadap masyarakat dan nilai sosial negara.
“Malaysia ini didiami pelbagai kaum, jadi kita sepatutnya tonjolkan identiti sendiri, bukan meniru budaya negara lain sehingga hilang jati diri semata-mata nak tarik pelancong.
“Memang pelancongan boleh jana ekonomi tapi impak selepas penganjuran itu perlu diambil kira, bukan hanya fikir keuntungan jangka pendek.
“Lebih mengecewakan pelbagai pihak sudah membantah, namun program ini tetap diteruskan. Jadi persoalannya, apa sebenarnya keutamaan kerajaan, pelancong asing atau suara rakyat tempatan?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Francis, dalam keadaan ekonomi yang mencabar, kerajaan sepatutnya lebih peka terhadap keperluan rakyat berbanding membenarkan program yang bercanggah dengan norma dan sensitiviti masyarakat.
Tegasnya, penganjuran festival seperti ini juga dilihat membazir apabila melibatkan kos tinggi termasuk penutupan jalan, elaun petugas, anggota polis perlu berkawal dan penggunaan air yang banyak.
“Air itu sepatutnya boleh disalurkan kepada kawasan yang mengalami gangguan bekalan atau membantu golongan memerlukan bukan digunakan untuk hiburan.
“Rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi, tetapi kerajaan dilihat lebih mementingkan hiburan yang tidak bermoral.
“Jika perkara ini berterusan dan dijadikan acara tahunan, tidak mustahil kepercayaan rakyat terhadap kerajaan akan terus merosot,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam satu kenyataan memaklumkan bantahan terhadap Program Rain Rave Water Music Festival 2026 di Kuala Lumpur yang dilihat berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak serta keruntuhan nilai masyarakat. – MalaysiaGazette















