Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra bersama ahli baru UMNO ketika hadir pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-80 sempena Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO berkata, UMNO kini sedang membina kekuatan baharu termasuk dalam kalangan generasi muda yang semakin menunjukkan minat untuk bersama parti itu.

“Kita melihat ada gelombang baharu dalam kalangan anak muda yang mahu bersama UMNO dan perkara ini perlu diteruskan. Kita harap menjelang PRU-16 nanti, usaha Wanita, Pemuda dan Puteri akan membantu mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Pertandingan Nasyid Wanita Kebangsaan 2026 anjuran Wanita UMNO Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad, Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia yang juga Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu turut menyifatkan kehadiran ramai penyokong termasuk golongan lelaki dalam program anjuran Wanita UMNO sebagai tanda solidariti dan dokongan keluarga terhadap perjuangan parti.

Dalam pada itu, Presiden UMNO juga membuat kejutan dengan mengumumkan tambahan hadiah wang tunai bagi juara Pertandingan Nasyid Wanita Kebangsaan 2026 daripada RM3,000 kepada RM30,000.

Sejurus pengumuman itu, seluruh warga UMNO khasnya Wanita UMNO kelihatan teruja dengan berterusan tepuk dengan ‘hadiah’ Presiden UMNO.

Beliau berkata, keputusan menaikkan jumlah hadiah itu dibuat sebagai penghargaan terhadap komitmen serta pengorbanan peserta yang disifatkan sanggup berbelanja besar bagi memastikan persembahan terbaik di pentas akhir kebangsaan.

“Hadiah pertama saya naikkan daripada RM3,000 kepada RM30,000 berkuat kuasa tahun ini juga. Walaupun mock cheque yang dipaparkan di atas pentas masih jumlah lama, tuntut hadiah baharu itu melalui Ketua Wanita UMNO,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, pertandingan berkenaan membuktikan program berteraskan seni dan dakwah masih mampu menarik perhatian masyarakat termasuk golongan muda.

Katanya, nasyid tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang terlalu tradisional semata-mata, sebaliknya menjadi medium menyatukan masyarakat serta mengangkat bakat wanita.

“Kita berkumpul malam ini bukan sekadar untuk pertandingan nyanyian biasa tetapi untuk meraikan bakat, meraikan suara wanita dan paling penting meraikan ukhuwah sesama kita,” ujarnya.

Beliau berkata, penganjuran pertandingan itu juga membuktikan Wanita UMNO mampu menggerakkan program berskala besar hingga ke peringkat kebangsaan dengan penyertaan dari 10 negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast