MELAKA – Polis menahan empat pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun bagi membantu siasatan kes buli seorang penghuni junior berusia 12 tahun di sebuah rumah anak yatim lelaki di Tanjung Kling di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian terbongkar selepas pihaknya menerima laporan pukul 7.11 malam 29 April lalu daripada ibu mangsa.
Menurutnya, wanita berkenaan mendakwa, anaknya, murid sekolah rendah berusia 12 tahun dibuli oleh pelajar senior yang dikenali di rumah anak yatim berkenaan.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dipukul, ditendang serta direndam kepalanya ke dalam baldi berisi air.
“Mangsa murid sekolah berusia 12 tahun juga didakwa diseret di atas lantai tandas dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dzulkhairi menambah, susulan itu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah telah menahan empat suspek pada kira-kira 3.45 petang Khamis lalu.
“Kesemua suspek merupakan pelajar sekolah menengah, tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil saringan air kencing didapati negatif dadah.
“Keempat-empat suspek telah diberi jaminan polis selepas keterangan diambil bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan,” katanya.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan.
Orang ramai juga diminta mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sebelum berkongsi sesuatu maklumat di media sosial. – MalaysiaGazette
















