Khairil Nizam Khirudin. Foto AIZAT ZAINAL, 06 OGOS 2025.
Khairil Nizam Khirudin. Foto AIZAT ZAINAL.

KUALA LUMPUR – Lajnah Pembangunan Modal Insan & Tenaga Profesional Pas menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan pemberhentian kerja yang disifatkan sebagai isyarat awal krisis pasaran buruh negara.

Mengikut data, 4,708 pekerja dilaporkan hilang pekerjaan dalam tempoh 16 hari pertama April 2026.

Wakil lajnah berkenaan, Khairil Nizam Khirudin berkata, walaupun Hari Pekerja semalam seharusnya menjadi medan menghargai sumbangan tenaga kerja, realitinya ramai pekerja Malaysia menyambutnya dalam keadaan tertekan akibat kos sara hidup yang tinggi, ketidakpastian pekerjaan dan ketidakpadanan kemahiran dalam era ekonomi digital.

“Pas turut mempersoalkan tindakan syarikat besar yang didakwa melaksanakan pemberhentian pekerja secara berterusan, termasuk dalam sektor tenaga dan pembuatan.

“Antara yang disebut ialah PETRONAS dengan sasaran pengurangan sehingga 5,000 pekerja sejak tahun lalu, selain ConocoPhillips Malaysia yang dilaporkan memberhentikan pekerja tempatan di Sabah, serta Top Glove Corporation Berhad yang mengurangkan lebih 300 tenaga kerja walaupun pernah mencatat keuntungan besar,” katanya yang juga Ahli Parlimen Jerantut menerusi kenyatan hari ini.

Sehubungan itu, Pas mempersoalkan ketegasan kerajaan dalam melindungi pekerja tempatan serta mengawal tindakan syarikat besar yang didakwa bebas membuat keputusan pemecatan tanpa kawalan lebih tegas.

Pada masa sama, Khairil Nizam turut menekankan cabaran luar seperti ketegangan geopolitik melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat yang berpotensi menjejaskan ekonomi global sekali gus memberi kesan kepada pasaran pekerjaan tempatan.

“Selain itu, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan automasi dijangka memberi impak besar terhadap peluang pekerjaan, justeru pekerja disaran meningkatkan kemahiran digital serta memperkukuh kemahiran insaniah bagi kekal relevan,” ujarnya.

Tambah beliau, Pas menegaskan, keperluan kerajaan untuk memastikan pelaksanaan gaji bermaruah, memperkukuh perlindungan sosial serta menyediakan pelan menyeluruh bagi menghadapi impak perubahan teknologi dan ketidaktentuan ekonomi global.

Dalam pada itu, Pas turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pekerja Malaysia yang disifatkan sebagai tunjang pembangunan negara dengan menegaskan bahawa pekerjaan dalam Islam adalah satu bentuk ibadah yang membina keluarga dan masyarakat.

“Kerja sebagai ibadah, membina keluarga, memakmurkan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast