Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mencabar PKR dan DAPSY memecat semua wakil UMNO yang menggalas jawatan Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menegaskan, pemimpin parti itu rela hilang jawatan daripada dilabel sebagai “gila kuasa”.

“Saya nak bagi tahu pimpinan DAPSY semua, kalau nak pecat jangan nak pecat dua orang ini, kalau kamu berani, kamu pecat semua menteri dan timbalan menteri UMNO yang ada pada hari ini.

“UMNO bukan gilakan kuasa, kita bukan gila jawatan, tapi kalau kamu nak lawan, kita lawan sungguh-sungguh hari ini,” katanya berucap pada Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 MEI 2026.

Sabtu lalu, Ahli Majlis Eksekutif DAPSY Malaysia, Kusaaliny Mahendran mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memecat Datuk Seri Mohamad Hasan daripada Menteri Luar daripada Menteri Kabinet.

Sebelum itu, Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr N.Sathia Prakash menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memecat wakil UMNO, Datuk Rizam Ismail sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Dr Akmal juga menegaskan, tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO menarik sokongan daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bukti pemimpin UMNO bukan mudah ‘ditindik hidung’.

“Negeri Sembilan bukti bahawa UMNO bukan orang yang boleh ditindik hidung. Tahniah kepada Datuk Seri Jalal, saya mula-mula ingat, betul kita tak, prinsip kita, kita bukan orang yang mencari peluang.

“Prinsip kita, kalau kita kawan, kita kawan sungguh-sungguh, kalau kamu sudah khianat garis merah, maaf bila-bila masa kita boleh tarik (sokongan),” katanya.

Katanya lagi, biar wakil UMNO hilang jawatan dalam kerajaan daripada terus dihina dan dikhianati rakan komponen.

“Kita tarik sesuai dengan prinsip, saya tak suka tebuk atap, sebab itu saya kata, tak perlu, biar hilang jawatan, biar hilang Exco, tetapi buat prinsip kita kekal Datuk Jalal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast