KUALA LUMPUR – UMNO Negeri Sembilan rela menjadi pembangkang daripada duduk di dalam kerajaan negeri dan melihat sahaja kesilapan yang dilakukan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, sebaliknya UMNO Negeri Sembilan kini fokus untuk memperkukuhkan akar umbi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
“UMNO Negeri Sembilan rela menjadi pembangkang daripada duduk di dalam kerajaan dan melihat sahaja kesilapan yang dilakukan oleh Menteri Besar.
“Krisis hari ini hanya timbul setelah UMNO hilang keyakinan terhadap Menteri Besar apabila krisis adat dan perlembagaan ini gagal diurus dengan tertib,” katanya berucap pada Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Jalaluddin juga berkata, UMNO Negeri Sembilan berharap agar kepimpinan pusat benar-benar mendengar pandangan akar umbi berhubung kerjasama pihaknya dengan mana-mana pihak pada PRU-16.
“Ke mana hala tuju UMNO Negeri Sembilan selepas ini ialah matlamat utama yang harus difikirkan adalah UMNO memenangi kerusi sebanyak mungkin dan kembali menjadi dominan.
“Kekuatan UMNO Negeri Sembilan berpunca daripada solidariti yang kuat dalam kalangan pimpinan terutamanya kesemua 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sedia ada.
“Saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan ADUN yang tetap setia dan bersama-sama saya dalam memacu UMNO Negeri Sembilan ini,” katanya.
Selain itu, beliau mengingatkan UMNO Malaysia agar tidak menggadaikan masa depan parti Melayu itu hanya kerana ingin menjaga hati mana-mana pihak.
“Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap krisis yang berlaku, namun sebagai seorang ketua, saya bertanggungjawab membawa anak-anak buah saya di landasan perjuangan yang sebenar.
“Selagi mana Presiden UMNO memberi kepercayaan kepada saya untuk menerajui UMNO Negeri Sembilan, saya akan lakukan yang terbaik,” katanya.
Beliau menegaskan, UMNO Negeri Sembilan bertindak sedemikian bukan kerana tamak jawatan mahupun kerana mahu merosakkan momentum parti.
“UMNO Negeri Sembilan bertindak kerana ada prinsip yang tidak boleh kita gadaikan. UMNO Negeri Sembilan bertindak kerana ada maruah yang tidak boleh kita jual beli,” tegasnya.
Sementara itu, Jalaluddin membidas pihak tertentu menuduh UMNO Negeri Sembilan kononnya tindakan menarik sokongan daripada menteri besar itu sebagai tebuk atap.
“Jika UMNO mahu tebuk atap, UMNO telah lakukan lama dahulu. Rakan-rakan ADUN di Negeri Sembilan boleh sahkan, tidak ada sebarang perbincangan awal untuk tebuk atap.
“Kalau UMNO mahu berkuasa, peluang itu sudah terhidang selepas PRN, tapi UMNO memilih bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















