Tangkap layar daripada video tular dikongsikan pengguna Threads menunjukkan kehadiran beberapa ekor ulat (bulatan) dalam hidangan lontong dihidangkan sebuah premis makanan di Bukit Baru, Melaka.

MELAKA – Sebuah premis makanan di Bukit Baru, Melaka yang tular selepas disyaki menghidangkan telur berulat dalam lontong dikenakan empat notis kompaun oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM), Jumaat lalu.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, ia selepas pemeriksaan dibuat kira-kira 5.50 petang Jumaat lalu sebaik sahaja menyedari kejadian itu tular di media sosial.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati pengusaha telah melanggar piawaian kebersihan apabila melakukan pelbagai ketidakpatuhan melibatkan pengendalian makanan dan kebersihan premis.

Pemeriksaan mendapati, pengusaha telah melanggar piawaian kebersihan apabila melakukan pelbagai ketidakpatuhan melibatkan pengendalian makanan dan kebersihan premis termasuk tong sampah tidak bertutup.

“Antara kesalahan dikesan termasuk tong sampah tidak bertutup dan tidak sesuai, pencedok ais diletakkan dalam ais minuman, serta kewujudan barangan tidak digunakan dalam premis.

“Pemeriksaan turut mendapati ada pekerja tiada suntikan dan sijil kursus pengendali makanan selain tidak memakai PPE ketika mengendalikan makanan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.


Pemeriksaan mendapati, pengusaha telah melanggar piawaian kebersihan apabila melakukan pelbagai ketidakpatuhan melibatkan pengendalian makanan dan kebersihan premis termasuk tong sampah tidak bertutup.

Menurutnya, hasil penilaian kebersihan premis ini hanya mencapai markah 71.58 peratus, menunjukkan tahap pematuhan yang masih tidak memuaskan.

“Sehubungan itu, tiga notis kompaun dikeluarkan iaitu dua di bawah Peraturan 32(1)(b) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan satu mengikut Seksyen 11(1)(c).

“Semakan mendapati, premis ini beroperasi dalam dua sesi iaitu dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari dan disambung semula pada jam 6 petang hingga 12 tengah malam,” katanya.

Datuk Ngwe Hee Sem

Tegasnya, pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha makanan yang gagal mematuhi standard kebersihan ditetapkan.

“Kita memandang serius isu ini kerana ia melibatkan kesihatan awam, justeru pengusaha diingatkan supaya sentiasa memastikan amalan kebersihan dipatuhi bagi mengelakkan tindakan tegas diambil,” katanya.

Sebelum ini, tular perkongsian seorang pengguna Threads yang mendakwa anaknya yang masih kecil mengalami sakit perut yang disyaki berpunca selepas termakan hidangan di premis berkenaan.

Pengguna terbabit turut memuat naik keadaan anaknya dan video memaparkan beberapa ekor ulat berada di atas telur dalam menu lontong yang dipesan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast