Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki hadir pada Majlis Sambutan 60 Tahun MARA di Pusat Perdagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 03 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Madani lebih lantang dan berani dalam usaha memperkasaka agenda Bumiputera.

Beliau berkata, pendekatan itu membuktikan kerajaan tidak pernah mendukung elitisme hingga meminggirkan kepentingan Bumiputera seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Tegas beliau lagi, rekod pentadbiran setakat ini menjadi bukti jelas bahawa kebajikan dan hak masyarakat Bumiputera sentiasa menjadi keutamaan yang diperjuangkan secara konsisten.

“Sebab itu dalam gagasan kita, saya nak sebut dalam Kerajaan Madani, tidak ada sama sekali pandangan mendukung elitisme semata-mata atau meminggirkan kepentingan Bumiputera seperti yang diandaikan oleh sebahagian orang.

“Malah saya nak tekankan, saksinya Datuk Seri Zahid (Hamidi), tiga tahun Kerajaan Madani, program Bumiputera itu lebih lantang, lebih tegas, lebih berani daripada sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan 60 Tahun MARA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Mengulas mengenai kerangka pemikiran besar kerajaan, Anwar menjelaskan, sokongan terhadap aspek kecemerlangan tidak bermakna peluang untuk Bumiputera dikurangkan.

Beliau memberi contoh keputusan kerajaan baru-baru ini yang memberikan tempat automatik di universiti kepada semua pelajar yang memperoleh keputusan 10A ke atas tanpa mengira latar belakang.

“Tetapi dalam masa yang sama, 90 peratus anak Bumiputera itu tetap diberikan kesempatan untuk program matrikulasi. Jadi jangan bila dalam perbahasan, jangan pilih satu (aspek) sahaja,” katanya.

Dalam ucapan sama, Anwar turut membidas segelintir pihak termasuk golongan akademik yang didakwa sengaja membina naratif mengelirukan mengenai peruntukan kuota pendidikan.

Beliau mengingatkan Program Matrikulasi pada asalnya diwujudkan 100 peratus untuk Bumiputera sebelum kerajaan membuka ruang 10 peratus bagi membantu anak-anak bukan Melayu yang miskin dan terpinggir.

“Ada yang menulis, ada yang kategori pensyarah saya tak tahu dia pensyarah apa atau ada yang digelar profesor. Profesor ini harus menukil, memahami dan bersikap adil.

“Dia ambil di situ, dia kata 90 peratus dihadkan atau diperuntukkan kepada Bumiputera tetapi dia tidak sebut itu hanya program matrikulasi (yang asalnya 100 peratus Bumiputera),” tegas beliau.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta semua pihak agar melihat dasar kerajaan secara menyeluruh dan tidak mencetuskan persepsi zero-sum game yang boleh menjejaskan keharmonian negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast