KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menggesa pihak berwajib termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan segera berhubung tindakan menyunting dan menyebarkan imej mengaibkan Sultan Selangor.
Pengerusinya, Datuk Salehuddin Saidin berkata, ia supaya individu terlibat dapat diheret ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman yang setimpal.
Menurutnya, MAIS percaya bahawa tindakan-tindakan tersebut dibuat dengan sengaja untuk melukakan perasaan masyarakat Islam di Negeri Selangor.
“Ini kerana hantaran tersebut jelas tidak menghormati kedudukan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam di negeri Selangor kerana mengaitkan Ketua Agama Islam dengan objek dan visual yang jelas haram mengikut perspektif hukum syarak.
“Selain itu, visual yang dihantar juga jelas melampaui norma dan nilai masyarakat yang menyentuh sensitiviti agama serta berpotensi menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas berkenaan satu lagi hantaran yang dikesan disebarkan menerusi media sosial sejak semalam yang memaparkan imej Sultan Selangor dalam keadaan jelik dan mengaibkan.
Menurutnya, MAIS juga menegaskan bahawa institusi Raja-Raja Melayu merupakan tonggak perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Dalam konteks Perlembagaan Persekutuan, ujarnya, kebijaksanaan institusi beraja yang memperkenan pelaksanaan dasar-dasar penting termasuk pemberian kewarganegaraan yang lebih terbuka kepada kaum minoriti haruslah sentiasa dikenang sebagai suatu simbol perpaduan antara kaum.
Sehubungan itu, tambah beliau, semua pihak tidak kira bangsa dan agama wajib menghormati dan memelihara institusi beraja ini daripada sebarang unsur yang boleh mencemar dan menjatuhkan kedaulatannya.
“MAIS kekal komited untuk mempertahankan kedudukan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam di Negeri ini.
“MAIS juga menyeru semua pihak untuk memelihara kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu serta memastikan kesejahteraan umat Islam dan keharmonian masyarakat terus terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette
















