Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar Muthuvelu.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan berusia 30-an ditahan bagi membantu siasatan berhubung hantaran imej penghinaan terhadap Sultan Selangor yang dimuat naik menerusi akaun Facebook Lucas Liam semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar Muthuvelu berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 7.10 petang tadi di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Menurut beliau, tangkapan itu dibuat melalui kerjasama erat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam membantu mengenal pasti individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan akaun yang disiasat.

Jelasnya, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas dua unit telefon bimbit berserta kad sim yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran tersebut.

“Setakat ini, 12 laporan polis diterima atas isu yang sama di seluruh negara.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada 4 Mei 2026 (esok),” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Tambah M. Kumar, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan / Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman di bawah tiga peruntukan kesalahan.

Antaranya, kata beliau, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut, jika disabitkan, denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, ujarnya, Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, jika disabitkan denda atau dipenjarakan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau kedua-duanya.

Tambah beliau, siasatan juga dijalankan mengikuti Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, jika disabitkan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tida melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Kataya, PDRM menegaskan bahawa sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial yang menyentuh sensitiviti 3R (agama, kaum, raja) boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta kesejahteraan negara.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan agar menggunakan platform ini dengan berhemah dan bertanggungjawab.

“PDRM komited untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang, demi memastikan keamanan dan keselamatan negara terus terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast