Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pasangan warga emas yang ditahan reman berhubung kematian penuntut kolej wanita dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

“Pasangan warga emas itu sudah dilepaskan dengan jaminan polis hari ini dan kita fokuskan siasatan terhadap dua remaja berusia 19 tahun,” kata Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri kepada Berita Harian malam ini.

Difahamkan, warga emas yang juga pasangan suami isteri berusia 60 dan 66 tahun itu adalah ibu bapa kepada suspek remaja lelaki berusia 19 tahun.

Semalam, pasangan warga emas itu ditahan reman selama tiga hari, manakala dua remaja lelaki berusia 19 tahun direman selama seminggu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian tengah malam Jumaat lalu, mayat seorang wanita ditemukan di Jalan Kampung Kubang Kiat, Ketereh, jam 12.30 tengah malam dengan 61 kesan tikaman di seluruh anggota badannya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, mangsa ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri dan polis mengenal pasti identiti mangsa sebagai Nurfisya Zulkifly, 19, berdasarkan semakan cap jari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi terbabit.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast