RAKAMAN CCTV menunjukkan sekumpulan lelaki dipercayai mencuri kabel di Shah Alam, Selangor.

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan beberapa suspek dalam kejadian curi kabel yang berlaku di kawasan Seksyen 2, Shah Alam awal pagi semalam seperti di dalam video yang tular di media sosial.

Terdahulu, Ketua Polis Shah Alam, ACP Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada penduduk tempatan berusia 60-an.

Menurutnya, kejadian itu disedari berlaku pukul 6 pagi semalam.

“Usaha mengesan dan menangkap suspek-suspek kejadian sedang giat dijalankan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi satu minit lima saat itu, kelihatan beberapa individu sedang menarik kabel di hadapan rumah penduduk menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Menurut Ramsay, polis turut menggesa mana-mana orang awam sekiranya menemui individu mencurigakan atau sebarang aktiviti mencuri kabel agar segera menghubungi talian kecemasan 999 atau  talian Hotline IPD Shah Alam 03-55202032.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Mohammad Amirul Zulkifli di talian 012-5583436 bagi membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast