PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan menetapkan esok bagi mendengar rayuan akhir peniaga, Rosmaini Abdul Raof terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya, Jahidah Nordin sehingga koma, empat tahun lalu.
Mahkamah turut mendengar rayuan silang pendakwaan yang tidak berpuas hati terhadap hukuman yang dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor.
Berdasarkan semakan dalam laman web kehakiman, kedua-dua rayuan tersebut dijadual didengar di Mahkamah Rayuan 5.
Sementara itu, pada 27 April lalu, polis mengesahkan suspek yang disyaki memukul isterinya sehingga keguguran di Ambangan Heights, Sungai Petani, Kedah adalah lelaki yang sama terlibat dalam kes pukul Jahidah.
Pada 4 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 9 Disember 2024 yang mensabit dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Rosmaini.
Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan akhir diputuskan.
Rosmaini sempat dipenjarakan 79 hari selepas disabitkan bersalah oleh Mahkamah Sesyen.
Bagaimanapun, mahkamah meningkatkan jumlah jaminan daripada RM15,000 kepada RM25,000 serta dua syarat jaminan sebelum ini dikekalkan iaitu lapor diri di balai polis sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
Pada 17 Jun 2021, Rosmaini didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Jahidah, 48, dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada belakang badan wanita itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Terdahulu, negara digemparkan dengan kejadian yang menimpa Jahidah yang dilaporkan hamil.
Jahidah yang juga bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, Negeri Sembilan, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
Wanita itu dilaporkan selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021 dan kanak-kanak itu disahkan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).
Sementara itu, pada 15 Mac 2024, Mahkamah Rendah Syariah Seremban membenarkan permohonan fasakh dikemukakan keluarga Jahidah pada 1 Februari 2023. – MalaysiaGazette
















