Sesi temu bual bersama Adun Duyong, Datuk Mohd Helmy Abdul Halem pada program Skop MG di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 2 MEI 2026

KUALA LUMPUR – UMNO berdepan cabaran besar untuk menterjemahkan konsep ‘Rumah Bangsa’ agar tidak sekadar menjadi retorik politik sebaliknya sebuah perlindungan hakiki buat rakyat di peringkat akar umbi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, dalam mendepani realiti politik semasa, UMNO perlu melalui proses ‘penyembuhan’ daripada penyakit dalaman bagi memastikan ia kekal relevan sebagai jurubicara bangsa.

“Untuk elakkan UMNO ini ‘mati’ di usia 80 tahun, kita kena lihat dua perkara. Sama ada ia mati disebabkan sakit tua atau disebabkan banyak penyakit.

“Kita tidak boleh hanya duduk dengan retorik atau nostalgia kehebatan masa lalu kerana generasi hari ini mahukan penzahiran dan pembaharuan yang nyata,” katanya menerusi program SKOP MG.

Sesi temu bual bersama Adun Duyong, Datuk Mohd Helmy Abdul Halem pada program Skop MG di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 2 MEI 2026

Jelasnya, naratif ‘Duyong Kita’ yang dibawa di kawasannya dilihat sebagai formula penyatuan warga tanpa mengira ideologi politik.

“Walaupun UMNO sinonim dengan perjuangan Melayu namun di lapangan, tanggungjawab seorang wakil rakyat adalah menyantuni semua pihak yang bernaung di bawah bumbung yang sama.

“Rumah Bangsa dalam konteks saya di Duyong adalah tentang kebersamaan. Kita satukan hati yang berbeza ini atas semangat kampung. Selagi dia orang Duyong, dia adalah orang saya.

“Majikan kita adalah rakyat, maka kualiti khidmat bakti itulah yang akan membina semula kepercayaan mereka kepada parti,” ujarnya.

Selaku antara sosok muda yang menonjol dalam UMNO, Mohd Noor Helmy turut mengakui transisi kepimpinan sedang berlaku.

“UMNO sekarang lebih terbuka dalam menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.

“Kerjasama politik dalam pentadbiran negara hari ini tidak seharusnya dilihat sebagai penggadaian prinsip, sebaliknya satu kesinambungan demi kestabilan agama, bangsa dan negara.

“Kita berubah bukan kerana kita gagal tetapi untuk sesuaikan dengan keadaan. Apa yang sesuai waktu dulu, belum tentu sesuai hari ini,” katanya lagi.

Tambahnya, rakyat hari ini mahu melihat transformasi yang memberi impak kepada ekonomi harian.

“Di peringkat akar umbi, kita perlu seimbangkan inisiatif kerajaan Persekutuan dengan keperluan sebenar rakyat.

“Sambutan 80 tahun UMNO kali ini dilihat sebagai titik refleksi penting bagi parti keramat itu untuk membuktikan bahawa ‘Rumah Bangsa’ masih mempunyai tiang yang kukuh untuk terus berpaut,” katanya.

Jelasnya, UMNO hanya perlu berani melakukan pembersihan dalaman dan kembali sihat demi masa depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast