KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ridzuan Ahmad mengambil pendirian berkecuali berhubung krisis politik yang berlaku di Negeri Sembilan.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan secara mendalam kepentingan rakyat serta kestabilan negeri dan negara secara keseluruhan.
Ujarnya, pendirian berkecuali itu selari dengan prinsip untuk mengutamakan kestabilan, kematangan politik dan kebajikan rakyat berbanding kepentingan politik jangka pendek.
Katanya, keutamaan ketika ini adalah memastikan keadaan politik kekal stabil dan tidak menjejaskan pemulihan serta pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam suasana mencabar.
Tambah beliau, penukaran kepimpinan kerajaan negeri pada masa ini adalah tidak sesuai dan berpotensi menimbulkan ketidakstabilan yang boleh merugikan rakyat.
“Sebarang perubahan besar dalam landskap politik sewajarnya diserahkan kepada mandat rakyat melalui pilihan raya umum akan datang, dan bukannya dilakukan dalam keadaan semasa yang boleh mencetuskan ketidaktentuan,” katanya dalam kenyataan hari ini seperti dilaporkan portal berita.
Sementara itu, Ridzuan turut menegaskan semua pihak perlu memberi tumpuan kepada isu rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi negeri.
Beliau turut menegaskan akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan memberi fokus kepada kebajikan rakyat serta kekal vokal sebagai pembangkang bagi memainkan peranan semak dan imbang terhadap dasar kerajaan Negeri Sembilan.
Sebelum ini, lima ADUN Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan mengumumkan sedia bekerjasama dengan 14 ADUN Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.
Ia selepas kesemua 14 ADUN BN berkenaan diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga ADUN BN, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengumumkan menarik sokongan serta menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, sekali gus mencetuskan krisis politik di negeri itu.















