Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegaskan keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) tidak menggugat Pakatan Harapan (PH) yang sudah lama menggerakkan jentera dan mendekati rakyat tanpa menunggu musim pilihan raya.

Malah, tegas Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin, pihaknya tidak terkejut dengan pendirian BN yang mahu bergerak bersendirian, namun pada masa sama masih memerlukan persefahaman dengan pihak lain bagi mengelakkan pertembungan kerusi.

Menurutnya, situasi itu memperlihatkan BN masih berdepan dilema dalaman dan belum benar-benar yakin dengan kekuatan sendiri.

“AMK tidak melihat perkara ini sebagai ancaman, sebaliknya ruang untuk membuktikan kekuatan sebenar gerakan reformasi bersama PKR dan PH.

“Kita tidak menunggu pilihan raya untuk bekerja kerana gerak kerja di lapangan sudah lama berjalan bersama rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kesiapsiagaan PH kini melibatkan semua 222 kerusi Parlimen dengan fokus memperkukuh jentera di seluruh negara menjelang PRU-16.

Katanya, pelancaran Sistem Pengurusan Pilihan Raya TERAS oleh Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar turut membuktikan kesungguhan parti itu memperkemas gerak kerja pilihan raya secara lebih tersusun dan menyeluruh.

“TERAS akan membantu memastikan kempen dipantau secara rapi selain disokong penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam mendepani pilihan raya akan datang,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Danish berkata, kekuatan PH hari ini bersandarkan kepada prestasi pentadbiran di negeri-negeri diterajui gabungan itu termasuk Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Menurutnya, rakyat dapat melihat sendiri aspek tadbir urus, pelaburan dan dasar yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian mereka.

Mengulas naratif dibawa BN berkaitan isu Melayu dan Islam, beliau berkata, perkara melibatkan Islam, institusi Raja-Raja Melayu, hak Melayu dan Bahasa Melayu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta terus dipertahankan dalam kerangka Kerajaan Madani.

“PRU-16 akan menjadi medan rakyat memilih antara politik lama yang sarat percaturan atau kepimpinan yang dibuktikan melalui kerja dan prestasi,” tegasnya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast