PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara maksimum 14 tahun ke atas peniaga, Rosmaini Abdul Raof kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya, Jahidah Nordin sehingga koma, empat tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas menggantikan hukuman penjara 10 tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor. Hukuman berkuat kuasa bermula hari ini.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid turut memerintahkan Rosmaini, 43, membayar pampasan RM25,000 kepada Jahidah bermula hari ini menerusi wakil keluarga, Fazariah Nordin yang menjaganya.
Gagal membayar pampasan, peniaga itu diperintah menjalani hukuman penjara enam bulan.
Panel berkenaan sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan balas pihak pendakwaan dan menolak rayuan akhir Rosmaini terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun.
Mahkamah berpuas hati, hukuman penjara yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen, tidak memadai bagi menggambarkan keseriusan kesalahan yang dilakukan.
Ketika membacakan penghakiman tersebut, Hakim Noorin berkata, mahkamah menggantikan hukuman penjara kepada 14 tahun selepas mengambil kira tahap keganasan yang melampau serta kesan kekal dan dahsyat terhadap mangsa.
Ujar beliau, panel turut mempertimbang keadaan mangsa yang sedang mengandung, kesan terhadap anak dan kepentingan awam dalam membanteras keganasan rumah tangga.
Sehubungan itu, mahkamah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Amril Johari agar perayu dikenakan hukuman penjara maksimum.
“Hanya hukuman maksimum penjara 14 tahun dapat mencerminkan keseriusan kesalahan ini, memenuhi kehendak keadilan dan memberi mesej yang tegas terhadap perbuatan sedemikian.
“Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila gagal memberikan penekanan sewajarnya terhadap tahap kecederaan yang luar biasa serta faktor-faktor pemberat yang jelas wujud.
“Justeru, hukuman yang dijatuhkan adalah nyata tidak memadai dan memerlukan campur tangan mahkamah ini,” ujar beliau.
Hakim Noorin selanjutnya menyatakan, hukuman penjara 10 tahun yang dijatuhkan adalah kira-kira 71 peratus daripada hukuman maksimum yang diperuntukkan sepertimana yang telah dihitung oleh Mahkamah Tinggi.
Ujar beliau, mahkamah berpuas hati, walaupun hukuman itu mungkin memadai dalam kes biasa, ia tidak mencukupi dalam kes di hadapan panel hari ini.
Menurutnya, hukuman yang tidak setimpal dalam kes itu akan menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan jenayah dan gagal mencerminkan kecaman mahkamah terhadap perbuatan kejam sedemikian.
Pada 17 Jun 2021, Rosmaini, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas bekas isteri Jahidah, 48, dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada belakang badan wanita itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Rosmaini disabit melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin, pukul 6 pagi pada 4 Mei 2021.
Pendakwaan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan denda manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.
Pada 4 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 9 Disember 2024 yang mensabit dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Rosmaini.
Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan akhir diputuskan.
Bagaimanapun, mahkamah meningkatkan jumlah jaminan daripada RM15,000 kepada RM25,000 serta dua syarat jaminan sebelum ini dikekalkan iaitu lapor diri di balai polis sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
Jahidah yang juga bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, Negeri Sembilan selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Wanita itu dilaporkan selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021 dan kanak-kanak itu disahkan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).
Sementara itu, pada 15 Mac 2024, Mahkamah Rendah Syariah Seremban membenarkan permohonan fasakh dikemukakan keluarga Jahidah pada 1 Februari 2023. – MalaysiaGazette
















