BUTTERWORTH – Sebuah syarikat sektor pengilangan dalam daerah Seberang Perai Utara didenda RM120,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan gagal melaksanakan kawalan kejuruteraan terhadap pendedahan bising di tempat kerja sehingga menyebabkan dua pekerja mengalami masalah pendengaran.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dalam kenyataan berkata, Hakim, Roslan Hamid menjatuhkan hukuman itu selepas majikan berkenaan mengaku bersalah atas perrtuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 18B(2), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).
Berdasarkan fakta kes, majikan didapati gagal melaksanakan kawalan kejuruteraan bising seperti yang diarahkan oleh Penaksir Risiko Bising termasuk pemasangan penghadang fizikal (noise barrier) di kawasan operasi mesin.
“Kegagalan itu menyebabkan dua pekerja disahkan mengalami Noise Induced Hearing Loss (NIHL) oleh pegawai kesihatan pekerjaan akibat pendedahan bising industri.
“Kesalahan ini merupakan pelanggaran serius terhadap tanggungjawab majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
“Jika disabitkan, kesalahan di bawah Seksyen 18B boleh dikenakan penalti sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Pulau Pinang, Abdul Rahim Sabri, manakala siasatan dijalankan oleh Pegawai Penyiasat Ir. Abdul Hafiz Ahmad dan Norfaiza Fadil.
Tambah JKKP, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi kehendak perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat dan sihat untuk semua pekerja,” katanya. – MalaysiaGazette















