Gambar hiasan

SEMPORNA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya merampas 575 kilogram baja ammonium dipercayai untuk menghasilkan “bom ikan”, hasil pemeriksaan terhadap sebuah bot yang ditinggalkan di perairan Pulau Bum Bum di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna Komander Maritim Amir Shubli berkata sebelum itu, sepasukan anggota peronda agensi berkenaan telah melakukan rondaan di kawasan perairan itu pada 4 petang dan terserempak dengan sebuah bot pam di kedudukan 0.2 batu nautika, utara pulau itu.

“Seorang lelaki kemudian dilihat terjun ke laut untuk melarikan diri dengan berenang ke daratan berhampiran bagi mengelak daripada ditahan. Hasil pemeriksaan di dalam bot menemukan 23 guni baja ammonium dianggar seberat 575 kilogram.

“Bahan itu dipercayai digunakan untuk menghasilkan bom ikan. Penggunaan bahan letupan untuk menangkap ikan merupakan satu kesalahan jenayah berat kerana kegiatan itu mampu memusnahkan ekosistem marin serta khazanah dasar laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjangkakan jika kesemua bahan letupan itu digunakan, ia boleh mengakibatkan kerosakan teruk pada terumbu karang sehingga sukar untuk dipulihkan.

“APMM tegas dan berterusan dalam memerangi jenayah ini tanpa kompromi demi melindungi sektor pelancongan Semporna, selain melindungi kelangsungan ekonomi penduduk termasuk keselamatan aktiviti selam skuba,” katanya.

Kes itu, katanya disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Bekalan 1961.

Amir itu turut menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai jenayah di laut agar menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Semporna melalui talian 089-782619 atau talian kecemasan MERS999. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast