ISKANDAR PUTERI – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bercadang bertanding antara lima hingga 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz berkata, sasaran parti itu adalah kawasan yang mempunyai demografi campuran membabitkan bandar dan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu berkata, kerusi terbabit membabitkan kawasan yang pernah ditandingi sebelum ini selain kawasan baharu.
“Kita lihat kerusi bercampur (kawasan campuran). Kalau kita tengok kerusi-kerusi yang pernah MUDA bertanding sebelum ini pun demografinya banyak berbeza.
“Kita sebelum ini bertanding di Larkin sebagai contoh, ini memang kawasan urban. Kita juga bertanding di kerusi-kerusi yang semiurban seperti Bukit Permai atau Machap.
“Kita juga bertanding di kawasan pedalaman seperti di Tenang. Jadi kita bukan sekadar melihat kerusi di bahagian urban sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Katanya, MUDA akan mempertahankan kerusi Puteri Wangsa yang kini menjadi rebutan beberapa parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) dan Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP).
Beliau mengalu-alukan mana-mana pihak untuk bertanding di kerusi tersebut dan menegaskan MUDA mempunyai dua hingga tiga calon untuk DUN tersebut.
“Calon-calon di kerusi Puteri Wangsa termasuk saya sendiri dan kita bersedia untuk bertanding berapa penjuru pun,” ujarnya.
Ditanya sama ada MUDA akan bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor, beliau berkata, perkara tersebut belum dimuktamadkan.
Bagaimanapun, Amira Aisya mengakui perbincangan secara tidak rasmi ada diadakan dengan PN Johor dan perkara tersebut akan ditentukan apabila tiba masanya nanti. – MalaysiaGazette
















