Dr Sahruddin dalam sidang akhbar di DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Perikatan Nasional (PN) mengesahkan akan meletakkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pihaknya bersedia berdepan PRN Johor pada bila-bila masa.

“PN akan bertanding di semua kerusi DUN (dalam PRN Johor). Senarai nama calon-calon akan diserahkan sepenuhnya kepada pimpinan peringkat Pusat,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu berkata demikian dalam sidang akhbar semasa sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz.

Beliau berkata, pada masa sama, PN tidak menolak kemungkinan akan bekerjasama dengan MUDA pada PRN Johor.

Bagaimanapun, bekas Pengerusi PN Johor itu berkata, tumpuan ketika ini adalah pelantikan baharu jawatan tersebut yang sehingga kini masih kosong.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menghantar satu surat mengandungi satu nama bagi pihak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor kepada kepimpinan tertinggi PN.

“Surat tersebut sudah dihantar lebih sebulan dan masih belum ada jawapan. Hingga hari ini masih belum dinamakan lagi, jadi kita tunggu,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembanngan lain, beliau mendesak agar kerajaan mengembalikan kuota program BUDI95 yang telah dikurangkan daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan pada April lalu.

“Kerajaan perlu lebih mengambil berat akan kebajikan rakyat yang berdepan kenaikan harga barangan termasuk bekalan bahan api seperti petrol dan diesel.

“Sepatutnya pada waktu seperti ini, bantuan tersebut ditambah dan bukannya dikurangkan. Jadi kita harap bantuan itu dipertimbangkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast