PUTRAJAYA – Projek Tapak Sensor Jarak Jauh di Pulau Malawali perlu disegerakan kerana sistem radar itu penting untuk memberi maklumat tentang keselamatan dan ancaman di sempadan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan melengahkan projek yang mempunyai keperluan keselamatan memberi gambaran negara berkompromi dengan kawalan keselamatan sempadan.
“Perkara pokoknya adalah radar di Pulau Malawali mesti disegerakan pembinaannya. Dengan cara itu kita boleh tingkatkan keupayaan untuk mengawal kawasan keselamatan kita khusus di pantai timur Sabah. Ini keutamaan.
“Kalau kita siapkan ikut jadual, tak ada lagi blindspot bagi kawasan berkenaan dan ini adalah keperluan nombor wahid (satu),” katanya ketika Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Kompleks Setia Perkasa hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha KDN Datuk Awang Alik Jeman dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Saifuddin seterusnya berkata, sehingga kini, peruntukan projek sebanyak RM88 juta itu telah diluluskan pada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Justeru, katanya, tidak wajar projek itu dilengahkan.
Terdahulu, Saifudddin memaklumkan tumpuannya melawat sempadan negara dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini antaranya Bukit Kayu Hitam, Padang Besar, Perlis, kemudian ke Pulau Gaya, Mantani, Pulau Balambangan dan Pulau Malawali.
Jelas beliau, kekuatan dan kelemahan utama agensi-agensi penguat kuasa dan kawalan sempadan adalah keupayaan radar di setiap kawasan yang terlibat.
Sementara itu, Saifuddin turut menegaskan, keutamaan untuk menyegerakan pembinaan enam pos kawalan di pulau yang sama.
“Sudah lulus (bajet), sudah. Tinggal agensi pelaksanaan. Pasukan Gerakan Am (PGA) tentu mengharapkan pos yang lebih decent, lebih baik, lengkap dengan kedudukan lokasi yang strategik.
“PGA sudah siapkan dengan pasukan petugas yang akan mereka kerahkan. Tapi pos tak siap, tak bagus.
“Pandangan saya ialah kalau ianya satu projek yang keperluan keselamatan lebih besar, tak boleh dilaksanakan mengikut KPI biasa,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















