KUALA LUMPUR – Terkesan dengan keluhan seorang peniaga warung makan di Rawang yang terpaksa berdepan dengan kenaikan kos harga barangan, Perdana Menteri membawakan perkara tersebut ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bersama isu-isu berbangkit yang lain.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak mudah untuk menyelesaikan isu kenaikan kos harga barangan yang menghimpit rakyat kerana kerajaan perlu menampung beban kewangan yang tinggi seperti yang berlaku terhadap subsidi bahan api yang mana kerajaan terpaksa menanggung tambahan RM5 bilion setiap bulan.
Bagaimanapun menurut beliau, kerajaan tetap akan berusaha sedaya upaya untuk meringankan beban mereka terutamanya golongan relatif kecil, miskin dan rentan.
“Perkait dengan keluhan kakak yang di Rawang itu, saya berikhtiar mencari kaedah untuk mengurangkan beban mereka mengikut keupayaan kita. Saya fikir langkah pertama yang harus kita lakukan ialah mengurangkan kadar sewa.
“Kebanyakan kedai-kedai ini dimiliki oleh syarikat-syarikat kerajaan atau agensi kerajaan seperti MARA dan UDA, bulan ini juga mulai sekarang akan mengurangkan kadar sewa di semua premis perniagaan mereka, dan mereka akan umumkan mengikut daerah dalam masa yang terdekat,” katanya semasa sidang media khas Krisis Bekalan Global yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Tambah Anwar, meneladani langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang telah menurunkan kadar sewa, beliau turut menyeru semua pihak berkuasa tempatan negeri-untuk menurunkan kadar sewaan mulai bulan ini bagi mengurangkan beban peniaga dan penjaja.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan MTEN bersetuju untuk membayar wang pendahuluan Kadar Khas Insentif Pembajakan sebanyak RM200 kepada 240,000 pesawah berdaftar untuk menjalankan kegiatan penanaman padi.
Katanya, inisiatif yang diluluskan minggu ini, memberi implikasi kewangan kepada kerajaan sebanyak RM48 juta.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengarahkan Tentera Udara Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk meningkatkan pembenihan awan di kawasan utara Kedah yang mengalami musim kemarau lebih panjang daripada biasa.
Katanya, usaha ini adalah bagi membantu peladang dan pesawah yang menghadapi kesukaran untuk melakukan aktiviti pertanian mereka. -MalaysiaGazette















