KUALA LUMPUR – DAP mengarahkan seluruh jentera parti untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan pilihanraya mengejut di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sekiranya DUN masing-masing dibubarkan dalam masa terdekat.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan itu dibuat semasa mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP malam tadi di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.
Katanya, mesyuarat tersebut membincangkan perkembangan terkini Krisis Politik di Negeri Sembilan dan memutuskan beberapa pendirian antaranya DAP tidak setuju dengan cadangan pertukaran Menteri Besar.
“DAP tidak akan bersetuju dengan apa-apa cadangan pertukaran Menteri Besar pada ketika ini selepas cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan sedia ada gagal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Anthony, DAP juga berpendapat, segala isu yang melibatkan institusi Raja dan Adat Pepatih perlu diselesaikan dengan penuh hormat dan tertib mengikut lunas Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Negeri.
Tambah beliau, DAP sentiasa menghormati dan menjunjung institusi Raja Berperlembagaan dan menjunjung kasih ke bawah Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di atas titah supaya Kerajaan Negeri terus befungsi seperti biasa di bawah pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun. -MalaysiaGazette
















