KUALA LUMPUR – Keluarga mendiang Teoh Beng Hock memfailkan permohonan semakan kehakiman baharu bagi mendapat perintah agar kematiannya 17 tahun lalu, disiasat polis sebagai kes pembunuhan.
Permohonan tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi di sini bulan lalu melalui Tetuan Lim Wei Jiet dan 18 Mei ini ditetapkan untuk pendengaran kebenaran memulakan semakan kehakiman.
Dalam tindakan undang-undang itu, pemohon-pemohon terdiri daripada Meng Kee (abang mendiang), Leong Hwee (bapa) dan Teng Shuw Hoi (ibu).
Mereka menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), PDRM, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden-responden
Berdasarkan dokumen yang diperoleh pihak media, keluarga mendiang memohon perisytiharan bagi memaksa polis membuka siasatan sebagai kes pembunuhan di bawah Seksyen 302 atau kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan.
Pemohon turut memohon perintah mandamus agar siasatan dilengkapkan dalam tempoh 120 hari dari tarikh keputusan mahkamah.
Beng Hock yang ketika itu pembantu kepada bekas exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, beberapa jam selepas hadir untuk disoal siasat di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.
Dalam afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Meng Kee pada 16 April lalu, responden-responden gagal memberikan alasan dan penjelasan mengapa tiada siasatan terhadap kematian Beng Hock di bawah Sesyen 302 dan Seksyen 304.
Beliau berkata, kematian mendiang merupakan isu yang telah berlarutan sekian lama dan melibatkan kepentingan awam, namun sehingga hari ini, tiada individu atau pegawai SPRM yang didakwa berhubung kematian tersebut walaupun terdapat keputusan Mahkamah Rayuan mengenainya.
Menurut Meng Kee, Mahkamah Rayuan pada 5 September 2014 mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2011 yang mengesahkan keputusan terbuka Mahkamah Majistret.
Mahkamah Rayuan berpendapat, keputusan terbuka majistret yang disahkan oleh Mahkamah Tinggi, adalah salah dan seterusnya mengetepikan isu berkaitan kemalangan dan bunuh diri.
Mahkamah Rayuan berpendirian, bukti ketiga -tiga ahli patologi menunjukkan bahawa beberapa tekanan dikenakan pada leher mendiang seperti pegangan mencekik yang boleh menyebabkan gangguan kepada bekalan oksigen ke otak.
Panel tiga hakim turut berpendapat, tiada cap jari pada bingkai tingkap atau kaca tingkap, hal ini menunjukkan bahawa Beng Hock ditolak keluar dari tingkap dalam keadaan separuh sedar atau tidak sedarkan diri kerana mendiang tidak akan mempunyai keupayaan untuk memegang bingkai tingkap dan kaca tingkap sebelum jatuh.
“Saya dinasihatkan oleh peguam bahawa ketiga-tiga hakim Mahkamah Rayuan dalam alasan penghakiman berasingan membuat penemuan bahawa semua bukti menunjukkan bahawa kematian Beng Hock adalah akibat pembunuhan,” demikian menurut afidavit itu.
Dua pasukan siasatan khas ditubuhkan pada 2011 dan 2015 untuk menyiasat kematian Beng Hock, namun kedua-duanya diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut) oleh pihak pendakwaan.
Pada 20 Jun 2019, Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudian mengarahkan siasatan dibuka di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan pengurungan secara salah.
Menurut Meng Kee, dalam tempoh siasatan semula itu, pihaknya dimaklumkan sebanyak lapan kali bahawa siasatan lanjut masih dijalankan.
Terkilan dengan perkembangan itu, ibu bapa Beng Hock memfailkan semakan kehakiman pada 2022 supaya responden melengkapkan siasatan semula.
Pada 21 November 2024, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah mandamus dan mengarahkan Ketua Polis Negara melengkapkan siasatan ke atas kematian Beng Hock dalam tempoh enam bulan dari tarikh keputusan.
Ekoran perintah mahkamah, polis melengkapkan siasatan berkaitan kurungan salah tahun lalu dan melalui surat bertarikh 20 Mei 2025, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor memaklumkan AGC mengarahkan kes tersebut diklasifikasikan sebagai NFA.
AGC turut menyatakan bahawa tiada bukti mencukupi untuk membuktikan sebarang kesalahan terhadap mana-mana individu di sisi undang-undang. – MalaysiaGazette
















