MELAKA – Pempengaruh media sosial, Otamblurr atau lebih dikenali sebagai Otam, 39, enggan mengulas dakwaan mengaitkannya dengan penyalahgunaan dadah ketika bersiaran langsung di TikTok, lewat petang tadi.
Dalam sesi siaran langsung itu yang disaksikan lebih 2,200 pengikut, Otam tiba-tiba menjawab pertanyaan warga net Daisy yang menulis komen ‘lain kali jangan makan dadah’.
Namun, Otam yang aktif di TikTok, Instagram, Facebook dan Threads masing-masing mempunyai 249,200, 283,000, 4,600 dan 49,700 pengikut menjadikan jumlah keseluruhan hampir 600,000 pengikut memilih untuk tidak menjelaskan lanjut.
“Daisy awak cakap je lah apa-apa sebab bagi saya, saya bukan macam tu. Awak tak tahu cerita sebenar awak jangan cakap apa-apa,” katanya ringkas.
Ketika siaran langsung itu, Otam turut dilihat enggan melayan pertanyaan warga net mengenai kes yang dihadapinya dan memilih untuk tidak bercerita panjang kerana dikhuatiri mengganggu mana-mana pihak.
“Kes apa ni? Tak boleh, Otam tak boleh buka mulut apa-apa sebab bagi Otam, tak nak mengganggu pelbagai pihak. Kalau Otam buka mulut itu dah dianggap sebagai mengganggu,” jelasnya lagi.
Dalam masa sama, Otam turut meluahkan keadaan emosinya yang disifatkan berada pada tahap tidak stabil ketika ini.
“Tengoklah, ada komen-komen yang tak membantu bagi Otam benda-benda macam tu macam…korang (kamu semua) faham-faham sajalah,” katanya.
Mengulas lanjut, Otam secara berulang kali juga meminta orang ramai agar tidak mudah mempercayai media.
“Satu je Otam cakap, jangan percaya dengan media. Jangan, jangan, jangan…aku masih ada akal yang waras, emosi yang waras cuma emosi aku sekarang sangat tenat,” ujarnya.

Bagaimanapun, dia tidak memberikan sebarang penjelasan terperinci berhubung dakwaan yang timbul, malah menegaskan tiada keperluan untuk berbuat demikian buat masa ini.
Siaran langsung itu turut menyaksikan Otam menerima ribuan mesej sokongan daripada pengikutnya, namun mengakui tidak mampu membalas kesemuanya.
“Sorry tau yang mana-mana komen story ke, mesej kat DM aku tak dapat nak balas sebab terlalu banyak sangat terima kasih atas sokongan. Aku tak dapat membalas, tersangat beribu-ribu,” katanya lagi.
Pada 22 April lalu, MalaysiaGazette melaporkan seorang pempengaruh lelaki terkenal dari Melaka yang mempunyai hampir 600,000 pengikut di semua platform media sosial direman bagi membantu siasatan kes kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun positif dadah jenis ganja atau tetrahydrocannabinol (THC).
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila kanak-kanak terbabit memakan gula-gula disyaki mengandungi dadah dipercayai milik pempengaruh berkenaan.
Gula-gula tersebut dibeli suspek berusia 39 tahun yang tinggal bersama ibunya di Sungai Putat, yang juga pengasuh kanak-kanak berkenaan. – MalaysiaGazette
















