BATU KAWAN – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Persiaran Cassia Barat di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam kira-kira 9.45 pagi itu, mangsa berusia 46 tahun yang memandu kereta jenis Proton Saga dilaporkan maut di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.03 pagi.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi pada jam 10.17 pagi, kita dapati pemandu kereta tersepit di bahagian tempat duduk.
“Komander Operasi membuat ‘size up’ dan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dengan PPE lengkap menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas.
“Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pemandu lori berusia 52 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden berkenaan.
“Mayat pemandu kereta itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 10.43 pagi,” katanya.
Terdahulu tular rakaman video memaparkan kereta berkenaan dirempuh lori tersebut. – MalaysiaGazette
















