ALOR GAJAH – Kes kemalangan di bawah pengaruh dadah terus menggemparkan negara apabila turut melibatkan warganegara asing yang tidak memiliki lesen memandu sah.
Kali ini, seorang lelaki warga Ghana berusia 32 tahun pula direman tujuh hari oleh Mahkamah Sesyen Alor Gajah di sini bagi membantu siasatan kemalangan melibatkan dua buah kereta di Kilometer 221.6 arah utara Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), di sini, Mac lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, perintah reman terhadap suspek dikeluarkan Hakim Kamarul Aris Kamalluddin sehingga 11 Mei ini.

Menurutnya, ia selepas suspek ditahan polis susulan kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi, 3 Mac lalu ketika kedua-dua kenderaan sedang bergerak dari arah Melaka menuju ke Kuala Lumpur.
“Dalam kejadian itu, sebuah Honda City dipandu suspek dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang Perodua Myvi dinaiki enam sekeluarga termasuk seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin.
“Akibatnya, pemandu serta beberapa penumpang Perodua Myvi mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan, manakala suspek turut cedera.
“Semakan mendapati suspek tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala ujian saringan awal air kencing turut mendapati dia positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun jelasnya, suspek dilaporkan gagal memberi kerjasama dengan tidak tampil membuat laporan polis selepas kejadian dan dipercayai melarikan diri.
“Hasil risikan dan siasatan lanjut, polis berjaya menjejaki lelaki terbabit di sekitar Serdang sebelum menahannya dan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. – MalaysiaGazette
















