Seorang pempengaruh, Muhammad Iman Hazriq Azizan, 23, hadir ke Mahkamah Sesyen KL bagi sebutan semula kes dakwaan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja perempuan, ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 05 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 15 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes seorang pempengaruh media sosial yang didakwa atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja perempuan, Januari lalu.

Hakim Mohd Kafli Che Ali menetapkan demikian selepas pihak pendakwaan memohon satu tarikh baharu untuk serahan dokumen.

Muhammad Iman Hazriq Azizan, 23, sebelum ini mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar dan Mohd Kafli Che Ali.

Di hadapan Hakim Tasnim, dia didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun enam bulan di dalam sebuah bilik kondominium di Wangsa Maju antara jam 1 tengah hari hingga 8 malam pada 22 Januari lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Hakim Mohd Kafli, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi remaja perempuan berusia 16 tahun bagi tujuan seksual di tempat, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast