Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR – Datuk Mubarak Thahak bersama lima yang lain memfailkan saman pemula untuk mendapatkan salinan minit mesyuarat Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan yang diadakan pada 17 April lalu.

Mereka memohon perintah agar minit hasil mesyuarat yang  diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan diserahkan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh keputusan mahkamah.

Mubarak dan lima yang lain memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban, semalam menerusi Tetuan Deidra Sharina & Co.

Media sebelum ini melaporkan, Mubarak dilucutkan jawatan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-10 selepas didakwa melanggar hukum syarak dan adat.

Keenam-enamnya turut memohon mahkamah menggantung pelaksanaan keputusan mesyuarat khas DKU yang dicapai pada 17 April lalu sehingga minit berkenaan dikemukakan dan diserahkan kepada mereka.
.
Melalui saman pemula itu, keenam-enamnya memohon perisytiharan bahawa selaku Ahli DKU, mereka berhak dibekalkan salinan minit mesyuarat sidang khas itu.

Selain Mubarak, lima lagi ialah Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid.

Menerusi dokumen yang diperolehi pihak media, mereka selaku plaintif menamakan Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin, DKU dan Kerajaan Negeri Sembilan sebagai defendan.

Mereka juga memohon kos dan relif lain atau perintah yang difikirkan adil dan wajar oleh mahkamah.

Plaintif juga memohon supaya saman pemula itu didengar segera melalui permohonan perakuan segera yang diikrarkan peguam Asmawi Ismail.

Melalui afidavit sokongan yang diikrarkan pada 16 April lalu, Muhammed (Undang Luak Johol) berkata, beliau berserta plaintif kedua, kelima dan keenam, telah menerima sepucuk surat jemputan dari defendan kedua bertarikh 15 April lalu untuk menghadiri Mesyuarat Khas DKU keesokannya di Istana Besar Seri Menanti.

Beliau yang juga plaintif ketiga berkata, jemputan itu adalah di luar kebiasaan prosiding kerana surat akan dikeluarkan sekurang-kurangnya satu minggu sebelum tarikh mesyuarat diadakan bagi membolehkan ahli membuat pelarasan jadual tugasan rasmi masing-masing.

Katanya, menurut surat jemputan, mesyuarat dipanggil untuk mendengar laporan aduan daripada Telaga Undang Luak Sungei Ujong berkaitan beliau selaku plaintif pertama.

“Kami menegaskan bahawa pada kali ini, tiada sebarang agenda mesyuarat telah dilampirkan bersama surat jemputan bertarikh 17 April 2026, yang ditandatangani defendan pertama selaku setiausaha DKU.

“Kebiasaannya, nota dan minit mesyuarat DKU terdahulu akan turut diserahkan kepada ahli mesyuarat sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh sidang untuk membolehkan ahli membuat persediaan rapi.

“Meskipun panggilan menghadiri Mesyuarat Khas DKU ini bersifat segera, kami menyatakan sekurang-kurangnya agenda berkenaan haruslah disediakan dan dimajukan oleh pihak DKU kepada semua ahli-ahli mesyuarat terlebih dahulu,” katanya.

Muhammed berkata, plaintif pertama dan keempat tidak menerima sebarang surat jemputan dari pihak defendan kedua untuk menghadiri Mesyuarat Khas DKU berkenaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast