KOTA BHARU – Seorang wanita tempatan berusia 59 tahun ditahan kerana disyaki menyeleweng petrol bersubsidi dalam operasi bersepadu di Chabang Empat, Tumpat, semalam.
Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Aswadi Jaafar berkata penahanan itu dibuat menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu), yang dijalankan bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga pada 7.05 pagi hasil risikan dan pemantauan pihak berkuasa.
Beliau berkata suspek dikesan melakukan pengisian petrol secara berulang di sebuah stesen minyak sebelum ditahan di tepi jalan berhampiran lokasi berkenaan.
Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan Perodua Kenari yang digunakan telah diubah suai dengan pemasangan tangki khas bagi menyimpan petrol.
“Pasukan operasi turut merampas kira-kira 50 liter petrol yang disedut daripada tangki ubah suai itu, manakala nilai keseluruhan rampasan, termasuk kenderaan dan bahan api dianggarkan RM5,198.50.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan.
“Sejak Januari sehingga kini, sebanyak empat kes penyelewengan petrol bersubsidi direkodkan di Kelantan dan semuanya masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aswadi berkata setiap kes akan dinilai secara menyeluruh sebelum tindakan kompaun atau pendakwaan diambil, sambil menegaskan KPDN Kelantan akan terus mempergiat penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan, khususnya di kawasan sempadan.
— BERNAMA
















