Anuar Ahmad

MAKKAH – Kemampuan individu membayar pakej haji swasta yang lebih mahal berbanding muassasah bukanlah penentu permohonan rayuan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu diterima.

Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji TH, Anuar Ahmad berkata, ia kerana semua tawaran dan rayuan untuk menunaikan ibadah haji hanya ditentukan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sahaja.

“Tiada istilah lagi tinggi pakej yang diambil, lagi mudah rayuan diluluskan. Perkara itu tidak termasuk dalam kriteria pertimbangan TH,” katanya di sini.

Muassasah ialah pengurusan haji asas di bawah (TH) menggunakan kuota rasmi dengan kemudahan standard manakala Pengelola Jemaah Haji (PJH) ialah syarikat pengendali pelancongan swasta berlesen yang menawarkan pakej haji premium yang menawarkan keselesaan dan perkhidmatan tambahan dengan pengawasan TH.

Malah, katanya, penilaian rayuan haji dibuat berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan, bukannya kemampuan kewangan pemohon.

“PJH tidak ada peruntukan kuota haji. Pada peringkat awal semua jemaah haji Malaysia ditawarkan haji muassasah. Dan, apabila mereka selesai menjawab tawaran tersebut, mereka boleh menentukan sama ada kekal sebagai jemaah muassasah atau memilih untuk mendapatkan perkhidmatan nilai tambah.

“Mereka boleh memilih pakej-pakej yang ditawarkan daripada 34 PJH yang menawarkan nilai tambah bernilai daripada RM34,000 hingga setinggi RM250,000,” katanya di sini.

Menurut beliau, harga yang ditetapkan dalam pakej PJH berdasarkan perkhidmatan nilai tambah yang diberikan kepada jemaah haji.

Anuar berkata, sebenarnya perkhidmatan muassasah yang disediakan oleh TH memang sudah terbaik dan ia diakui oleh Kerajaan Arab Saudi tetapi ada jemaah mahukan perkhidmatan nilai tambah mengikut kehendak mereka.

“Contohnya mereka perlukan dua orang sebilik, perkhidmatan muassasah tidak dapat sediakan begitu kerana menyediakan empat atau lima jemaah sebilik. Selain itu, PJH menawarkan jarak penginapan yang dekat dari bangunan penginapan ke Masjidil Haram atau Masjid Nabawi.

“Begitu juga mungkin adaa yang ingin mendapatkan perkhidmatan penerbangan kelas perniagaan atau kelas pertama. Ini tiada jaminan kalau berada sebagai jemaah haji muassasah,” tambah beliau.

Menjawab pertanyaan, Anuar berkata, kadar harga yang ditawarkan berdasarkan perkhidmatan nilai tambah yang diberikan oleh PJH.

“Semasa mereka hendak buat brosur, ita akan tengok dan PJH ada justifikasi tertentu dalam menetapkan harga berdasarkan perkhidmatan nilai tambah yang diberi,” ujarnya.

Menurutnya, untuk tahun ini hanya 34 PJH yang diberikan lessen dan pelantikan mereka ini diumumkan dan orang ramai boleh melihat senarainya menerusi laman web TH bagi mengelak tertipu.

“TH juga mengadakan Karnival Haji Umrah dan Pelancongan bagi memperkenal, mempromosikan dan juga mendidik masyarakat bahawa inilah syarikat yang dibenarkan pada tahun ini untuk menguruskan jemaah Haji Malaysia pada tahun 1447H.

“Ini adalah platform yang terbaik untuk TH memaklumkan juga kepada orang ramai agar berhati-hati dan tidak terpedaya dengan penipuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast