MUAR – Tindakan seorang mudir sebuah madrasah dan dua anaknya yang tidak mula berpuasa pada 19 Februari lalu membawa padah apabila tiga beranak itu didenda Mahkamah Syariah di sini hari ini.
Mudir itu didenda RM5,000 atau setahun penjara selepas mengaku salah atas dua pertuduhan manakala dua anak lelakinya didenda RM2,500 seorang atau setahun penjara selepas masing-masing mengaku salah atas satu pertuduhan.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu kenyataan memberitahu, tiga beranak tersebut membuat pengakuan berkenaan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Syariah Muar, Mohamad Fadzil.
Menurut JAINJ, Mohamad menerusi keputusan penghakimannya menyatakan kesalahan itu adalah berat dan tidak sepatutnya berlaku di Johor yang mempunyai Sultan sebagai ketua agama.
“Hakim menasihati semua pihak yang mendakwa alim dalam bidang agama supaya tidak mengada-adakan hukum hakam sendiri dengan membelakangi Mufti dan Sultan.
“Hakim terbabit menyeru kepada tertuduh dan setiap umat Islam supaya mematuhi pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengenai permulaan 1 Ramadan.
“Ini adalah untuk mengelakkan supaya umat Islam dari berpecah belah dan bertelagah seperti yang berlaku di sesetengah negara lain,” ujar kenyataan tersebut.
Selain itu jelas kenyataan tersebut, mahkamah meminta agar madrasah itu diletakkan bawah pemantauan ketat JAINJ sesuai dengan prosedur dan ketetapan jabatan tersebut.
Tempoh pemantauan tidak dinyatakan tetapi dalam jangka masa yang sesuai. Hakim juga meminta tiga invidu terbabit yang dihukum ini diberi bimbingan serta pemulihan termasuk kepada pengikut dan pentadbiran madrasah ini.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa ingkar arahan pihak berkuasa agama berkaitan pengistiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengenai tarikh permulaan puasa 1 Ramadhan 1448 Hijrah bersamaan pada 19 Febuari lalu.
JAINJ memaklumkan, tertuduh pertama berumur 68 tahun iaitu mudir madrasah tersebut didakwa bawah Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana mengingkari pihak berkuasa agama.
“Beliau telah melakukan kesalahan dengan mengetuai upacara melihat anak bulan di tepi pantai Parit Penyengat, Muar, pada 18 Februari 2026. Beliau menyatakan anak bulan tidak kelihatan dan memberitahu supaya mula berpuasa pada 20 Februari lalu.
“Mudir madrasah ini berasal dari Melaka. Beliau menerima pengajian pondok atau pesantren di Indonesia dan sudah lebih 10 tahun mengendalikan madrasah di Muar ini,” kata JAINJ.
Sementara tertuduh kedua dan ketiga berusia 25 dan 29 tahun yang kedua-duanya merupakan anak warga emas tersebut dituduh bawah Seksyen 43(A) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana bersubahat.
Tertuduh berusia 29 tahun menyebar kenyataan dalam kumpulan WhatsApp ‘Kuliah Maghrib Manaqib’ mengenai permulaan puasa pada Jumaat, 20 Februari 2026.
“Dia merupakan tenaga pengajar madrasah ini dan menerima pendidikan pondok di Indonesia manakala tertuduh berumur 25 tahun pula merupakan pengendali kumpulan WhatsApp ‘Kuliah Maghrib Manaqib’.
“Dia bertindak membenarkan penyebaran dalam kumpulan whatsapp berkenaan kepada ahli kumpulan itu seramai 72 orang,” jelas JAINJ lagi.
Pendakwaan kes dikendalikan Pendakwa Syarie, Muhammad Lutfi Md Latif dan Azry Ismail Hassan.- MalaysiaGazette
















