Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 November 2025.

KUALA LUMPUR – Analisis dalaman 66 kerusi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan usaha melemahkan rakan dalam Pakatan Harapan (PH), sebaliknya dilihat sebagai langkah memperkukuh parti itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), jelas Parti Amanah Negara (Amanah).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, analisis berkenaan lebih menjurus kepada memperkukuh kedudukan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim serta kekuatan PKR bagi memastikan PH kekal kukuh menghadapi pilihan raya akan datang.

Menurutnya, kajian itu tidak harus disalah tafsir kerana fokus utamanya ialah memberi gambaran realistik mengenai kedudukan PH di kerusi Parlimen yang ditandingi dan dimenangi sebelum ini.

“Kajian ini adalah lebih kepada mengemas kini jentera supaya lebih berhati-hati supaya menumpukan gerak kerja pilihan raya nanti.

“Saya tak buat rumusan seperti mana media membuat pelbagai rumusan dan rumusan itu nampaknya jauh dari tujuan kajian dibuat kerana hakikatnya ia adalah untuk memastikan kawasan itu diperbaiki mutu gerak kerja agar menjadi lebih baik, bukan sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menjelaskan analisis strategik yang menunjukkan penurunan sokongan di beberapa kawasan utama lahir daripada semangat muhasabah diri parti.

Beliau menegaskan, dokumen itu menekankan keperluan merapatkan saf, memperkukuh jentera serta memfokuskan gerak kerja bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Pada masa sama, Nurul Izzah turut mengecam tindakan pihak yang membocorkan dokumen berkenaan, yang menurutnya lebih berminat menjadi “sumber khianat demi berita sensasi” berbanding menjaga adab organisasi.

Sebelum ini, sebuah portal menyiarkan laporan memaparkan analisis strategik dalaman PKR yang dibentangkan seorang pemimpin kanan parti itu.

Dokumen bertajuk Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier mendedahkan PKR kini berada dalam mod berjaga-jaga susulan penguasaan di beberapa kerusi utama dilihat semakin terhakis.

Antara kerusi Parlimen diletakkan dalam kategori marginal Tier 2B termasuk Sungai Petani, Tanjung Malim dan Tambun, manakala Gombak serta Sungai Buloh diklasifikasikan dalam Tier 3 iaitu zon merah yang memerlukan intervensi luar biasa atau bantuan khas daripada Pusat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast