KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian memohon untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Parti Keadilan Nasional (PKR) terhadapnya atas dakwaan melanggar bon RM10 juta yang ditandatangani sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.
PKR menuntut ganti rugi RM10 juta atas dakwaan beliau melanggar syarat bon apabila keluar daripada parti itu selepas memenangi PRU-14.
Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi menerusi Tetuan YH Teh & Quek manakala pengurusan kes ditetapkan di hadapan Hakim Roslan Mat Nor pada 20 Mei ini.
Baru yang kini kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan merupakan defendan pertama daripada enam bekas Ahli Parlimen PKR yang disaman kerana didakwa melanggar bon RM10 juta ditandatangani bersama parti itu.
Menerusi afidavit yang diikrarkan pada 6 April lalu, Baru menyatakan, Mahkamah Tinggi Malaya tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kesnya kerana punca tindakan itu timbul di Sarawak.
Peguam berusia 68 tahun itu berkata, beliau menandatangani bon tersebut di Kuching pada 25 April 2018, tiga hari sebelum memfailkan kertas pencalonannya untuk bertanding kerusi Selangau.
Beliau berkata, penglibatannya dengan PKR hanya tertumpu di Sarawak yang mana tempat ibu pejabat negeri parti itu terletak di Kuching.
Menurut Baru, peguam menasihatinya bahawa punca tindakan itu tidak timbul di Semenanjung Malaysia, sebaliknya di Sarawak.
Beliau selanjutnya menyatakan, di bawah Perlembagaan Persekutuan, terdapat dua Mahkamah Tinggi satu bagi Sabah dan Sarawak, dan satu lagi bagi Malaya.
Oleh yang demikian, beliau dinasihatkan oleh peguamnya bahawa Mahkamah Tinggi Malaya tidak mempunyai bidang kuasa terhadap saman yang difailkan ke atasnya.
“Saya lazimnya menetap di Sarawak, di luar bidang kuasa wilayah Mahkamah Tinggi Malaya,” katanya dalam afidavit yang menyokong permohonan itu.
Bagaimanapun, plaintif, Datuk Dr. Fuziah Salleh selaku Setiausaha Agung PKR berkata, punca tindakan itu berasal dari Semenanjung kerana ibu pejabat parti terletak di Petaling Jaya, Selangor.
Beliau berkata, urusan PKR ditadbir dari ibu pejabatnya dan keahlian Baru dalam parti itu juga diproses di situ.
Fuziah turut berkata, bon itu dibincangkan di ibu pejabat pada 17 April 2018 semasa satu mesyuarat yang dihadiri Baru.
Dalam afidavitnya, beliau berkata, pencalonan Baru bagi kerusi Selangau bukan semata-mata urusan Sarawak, sebaliknya ditentukan oleh kepimpinan pusat parti.
Beliau juga menyatakan Kementerian Kerja Raya yang pernah diketuai Baru beroperasi di Semenanjung dan beliau menghadiri sidang Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.
Fuziah menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi Malaya mempunyai bidang kuasa terhadap pertikaian kontrak yang timbul daripada bon itu dan permohonan Baru untuk membatalkan saman, adalah tidak berasas.
Dua bulan lalu, PKR menerusi Fuziah memfailkan saman terhadap Baru serta lima lain berhubung dakwaan peranan mereka dalam kejatuhan Kerajaan Persekutuan ketika itu yang memerintah selama 22 bulan pada 2020 susulan Langkah Sheraton.
Mereka ialah Datuk Kamarudin Jaffar, Datuk Mansor Othman, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Datuk Seri Dr. Edmund Santhara Kumar (Segamat).
Dalam saman berasingan, PKR turut menyaman 10 yang lain iaitu Abdul Yunus Jamhari, Datuk Azman Nasrudin, Dr. Afif Bahardin, Chong Fat Full, Daroyah Alwi, Haniza Mohamed Talha, Muhammad Hilman Idham, Muhammad Jailani Khamis, Robert Ling Kui Ee dan Zulkifli Ibrahim juga dinamakan sebagai defendan.
Di bawah syarat bon itu, defendan dikehendaki membayar jumlah tersebut dalam tempoh tujuh hari jika mereka memenangi kerusi atas tiket PKR tetapi kemudian meletak jawatan daripada parti, menyertai parti politik lain, atau menjadi wakil rakyat bebas.
Dalam PRU-14, PKR memenangi beberapa kerusi Parlimen dan DUN sebelum membentuk Kerajaan Persekutuan serta beberapa pentadbiran negeri.
Fuziah berkata, sekitar 24 Februari 2020, setiap defendan tidak lagi menjadi ahli PKR selepas menyokong gabungan politik selain PH.
Keahlian mereka ditamatkan pada 11 Mac 2020 dan parti menuntut pematuhan terhadap bon itu tetapi tidak menerima sebarang maklum balas. – MalaysiaGazette
















