KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menilai titah kenyataan media kedua oleh Sultan Selangor berhubung isu penternakan babi menunjukkan ada pihak yang masih gagal memahami bahasa adab, bahasa undang-undang dan bahasa hormat kepada institusi diraja.
Menurut beliau, titah Sultan Selangor itu bukan cadangan politik, sebaliknya pendirian jelas seorang Raja Pemerintah demi menjaga kepentingan negeri, rakyat, alam sekitar dan keharmonian masyarakat.
“Malulah menjadi pemimpin rakyat kalau soal asas seperti hormat kepada Sultan pun masih mahu dipolitikkan. Ini bukan soal siapa menang debat. Ini soal siapa tahu adat hidup bernegeri.
“Kalau sudah jelas Tuanku tidak berkenan, berhentilah berdalih. Jangan kerana mahu menjaga kepentingan politik sempit, institusi Raja pula mahu dicabar secara terbuka,” katanya menerusi Facebook malam tadi.
Menurut Dr Muhamad Akmal, pemimpin yang baik mendengar titah dan memahami kebimbangan rakyat, manakala pemimpin yang angkuh pula mencari jalan untuk melawan, walaupun sudah ditegur dengan begitu jelas.
Beliau turut menggesa semua pihak supaya jangan sempitkan isu itu kepada sentimen kaum atau agama semata-mata.
“Tuanku telah menyebut dengan jelas tentang alam sekitar, kos, sumber tanah terhad dan kepentingan ekonomi negeri. Itu semua hujah rasional, bukan emosi,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan pemimpin-pemimpin DAP yang masih berdegil supaya jangan uji kesabaran orang Melayu dan umat Islam dalam hal yang menyentuh titah Sultan.
“Politik ada batasnya. Adab kepada Raja jangan sesekali dilanggar.
“Cukuplah. Hormati titah Tuanku. Hentikan polemik ini. Jangan sampai rakyat melihat kamu bukan sahaja gagal memimpin, tetapi gagal beradab sebagai pemimpin dalam sebuah negeri beraja,” katanya.
Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi menegaskan pendirian baginda untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri itu.
Ketegasan tersebut selaras dengan kenyataan rasmi yang pernah dizahirkan baginda sebelum ini berhubung larangan terhadap industri penternakan berkenaan di Selangor. – MalaysiaGazette
















