KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) dicadangkan mewujudkan jawatan khusus sebagai Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di sekolah, susulan kes kemalangan yang masih berlaku di sekolah dari semasa ke semasa.
Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Ts. Shahronizam Noordin berkata, langkah itu bukan sahaja praktikal, malah selari dengan kehendak perundangan di bawah Seksyen 29A, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).
Menurutnya, peruntukan itu menekankan keperluan pelantikan individu yang berperanan menasihati majikan mengenai langkah-langkah keselamatan dan kesihatan yang wajar dilaksanakan bagi melindungi pekerja.

Jelas beliau, antara tanggungjawab utama penyelaras KKP termasuk mengurus serta menyelenggara rekod dan dokumen berkaitan keselamatan, seperti rekod kemalangan dan minit mesyuarat.
Selain itu, ujarnya, mereka turut membantu majikan menjalankan pemeriksaan berkala di tempat kerja bagi mengenal pasti hazard, serta mempromosikan budaya kerja yang selamat dan sihat melalui kempen kesedaran dan taklimat.
“Namun demikian, persoalan utama yang timbul ialah siapakah individu paling sesuai untuk memikul tanggungjawab ini di peringkat sekolah?
“Sekiranya pelantikan dibuat dalam kalangan guru, ia mungkin menimbulkan cabaran tersendiri.
“Guru pada masa kini telah pun dibebani dengan pelbagai tanggungjawab, termasuk pengajaran dan pembelajaran (PdP), penilaian dan pentaksiran, pengurusan kelas, tugas kokurikulum, bimbingan kebajikan murid serta urusan pentadbiran.
“Beban tugas yang sedia ada ini dikhuatiri akan menjejaskan keberkesanan pelaksanaan fungsi KKP sekiranya tanggungjawab tambahan diberikan tanpa sokongan yang mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, tambah beliau, satu pendekatan yang lebih praktikal ialah mempertimbangkan pelantikan dalam kalangan kakitangan sekolah yang tidak terlibat secara langsung dengan PdP.
Ujarnya, langkah itu membolehkan individu tersebut memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyelarasan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan secara lebih konsisten dan berkesan.
Bagaimanapun, tambah beliau, pihak kementerian pastinya mempunyai pertimbangan tersendiri berdasarkan realiti dan kekangan di lapangan.
“Apa yang lebih penting ialah memastikan pelaksanaan fungsi KKP di sekolah benar-benar memberi impak, sekali gus menjamin keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga pendidikan,” katanya.
Kesimpulannya, ujar beliau, pelantikan Penyelaras KKP di sekolah bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan.
Dengan pendekatan yang tepat dan sokongan yang mencukupi, katanya, usaha itu mampu menjadi pemangkin kepada pembudayaan keselamatan yang lebih mantap di institusi pendidikan negara. – MalaysiaGazette
















