Penduduk mendesak kerajaan negeri mengkaji semula cadangan pembangunan projek berintensif tinggi di Lot 642, Bandar Gelugor yang didakwa menjejaskan keseimbangan kawasan kejiranan itu.

GEORGE TOWN – Kira-kira 50 penduduk sekitar Gelugor mengadakan bantahan aman hari ini bagi mendesak kerajaan negeri mengkaji semula cadangan pembangunan projek berintensif tinggi di Lot 642, Bandar Gelugor yang didakwa bakal menjejaskan keseimbangan kawasan kejiranan itu.

Bantahan yang berlangsung di kawasan lapang berhampiran Masjid At-Taqwa itu turut menyaksikan penduduk membawa sepanduk antaranya tertera ‘Selamatkan Lot 642’, ‘Jangan paksa kami melawan’ dan ‘Pembangunan tanpa akal: projek gila, penduduk merana’.

Pengerusi Persatuan Kejiranan Gelugor, Datuk Ahmad Ibni Hajar berkata, sehingga kini lebih 4,000 tandatangan sudah dikumpulkan daripada penduduk yang membantah cadangan projek berkenaan.

Katanya, penduduk kecewa kerana isu yang dibangkitkan sejak dua bulan lalu masih belum menerima sebarang maklum balas atau tindakan daripada pihak berkaitan.

“Bantahan ini bukan kerana kami menolak pembangunan, tetapi kami mahu kerajaan negeri mengambil kira kesan jangka panjang terhadap penduduk dan alam sekitar.

“Jika tiada sebarang perkembangan selepas ini, kami akan menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri Pulau Pinang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Rabu depan,” katanya  kepada pemberita di sini hari ini.

Kawasan kejiranan yang terlibat merangkumi Taman Tun Sardon, Pemancar, Bukit Gelugor, Taman Brown dan Minden Heights.

Menurut beliau, setiap proses perancangan pembangunan berskala besar sepatutnya melibatkan pandangan komuniti setempat selain laporan penilaian impak alam sekitar, sosial, trafik dan kesihatan didedahkan kepada umum.

Katanya, Lot 642 juga dicadangkan dijadikan ruang hijau atau taman komuniti yang boleh dimanfaatkan penduduk sekitar berbanding pembangunan komersial berskala besar.

Sebelum ini, penduduk membangkitkan kebimbangan terhadap cadangan pembinaan empat blok pangsapuri setinggi antara 45 hingga 61 tingkat membabitkan keseluruhan 3,513 unit kediaman di kawasan berkenaan.

Mereka mendakwa projek itu berpotensi menyebabkan kehilangan kawasan hijau, meningkatkan risiko banjir kilat selain menambah kesesakan trafik di kawasan sedia padat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast