Federico Valverde (kanan) dan Aurelien Tchouameni. Foto BBC

LONDON – Real Madrid akan mengambil tindakan disiplin terhadap dua pemain tengahnya, Federico Valverde dan Aurelien Tchouameni susulan pergaduhan ketika sesi latihan pasukan itu semalam.

Kelab gergasi Sepanyol dalam satu kenyataan berkata, prosiding disiplin dijalankan selepas insiden yang berlaku di pusat latihan Valdebebas membabitkan kedua-dua pemain berkenaan.

Sebelum ini menurut laporan media Sepanyol, Valverde dibawa ke hospital berhampiran pusat latihan oleh jurulatih Alvaro Arbeloa selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala yang memerlukan jahitan.

Madrid bagaimanapun mengesahkan pemain Uruguay itu berada dalam keadaan baik namun perlu berehat sehingga dua minggu.

Kecederaan itu menyaksikan Valverde terlepas aksi El Clasico menentang Barcelona awal pagi Isnin ini dalam saingan La Liga.

Namun Valverde tampil meredakan keadaan dengan menafikan berlaku pergaduhan fizikal antara dia dan Tchouameni.

“Saya secara tidak sengaja terhantuk meja ketika pertengkaran itu sehingga mengalami luka kecil di dahi dan perlu mendapatkan rawatan di hospital.

“Rakan sepasukan saya tidak memukul saya dan saya juga tidak memukulnya,” katanya menerusi media sosial.

Media Sepanyol melaporkan kedua-dua pemain bertikam lidah ketika latihan kelmarin dan pertengkaran itu berlarutan pada sesi latihan semalam dan berakhir di bilik persalinan.

Akhbar Marca melaporkan kecederaan Valverde berlaku secara tidak sengaja dan bukan akibat tumbukan daripada Tchouameni.

Ketegangan dikatakan semakin memuncak dalam kem Real Madrid ketika kelab itu berdepan kemungkinan menamatkan musim tanpa trofi utama buat musim kedua berturut-turut.

Los Blancos kini ketinggalan 11 mata di belakang Barcelona dalam perebutan kejuaraan La Liga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast