MELAKA – Sepasang kekasih muda mengaku bersalah di dua Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini atas dua pertuduhan berasingan berkaitan menyembunyikan kelahiran bayi serta mengambil ubat bagi menghalang bayi dilahirkan hidup, bulan lalu.
Tertuduh Adam Harith Ahmad, 18, dan kekasihnya berusia 17 tahun 10 bulan membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman dan Uthman Abd Ghani selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan terhadap Adam Harith, dia didakwa menyembunyikan kelahiran secara rahsia dengan membungkus seorang bayi yang sudah meninggal dunia ketika dilahirkan kekasihnya berusia 17 tahun 10 bulan di dalam bonet belakang sebuah kereta.
Kesalahan itu dilakukan di Kampung Batu Gajah, Merlimau, Jasin kira-kira jam 11.40 malam 25 April lalu.
Perbuatan itu menjadi kesalahan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif mencadangkan jaminan RM15,000, namun peguam Mohd Farid Abdul Aziz merayu jaminan rendah atas alasan tertuduh masih muda selain ibunya merupakan pesara dan ibu tunggal yang turut menjaga neneknya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dan menetapkan 10 Jun depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara itu dalam prosiding di hadapan Uthman, remaja perempuan itu turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil ubat jenis “Misoprostol” dengan niat untuk menghalang bayi berkenaan dilahirkan dalam keadaan hidup.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bilik di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, Melaka Tengah kira-kira jam 10 pagi pada 25 April lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dan menetapkan 9 Julai depan untuk laporan akhlak JKM.
Rabu lalu MalaysiaGazette melaporkan remaja perempuan yang datang ke Hospital Melaka dalam keadaan berlumuran darah bulan lalu membongkar perbuatannya cuba menggugurkan kandungan berusia lima bulan dipercayai menggunakan pil.
Kes itu terbongkar selepas pegawai perubatan hospital membuat laporan polis mengenai tindakan remaja berkenaan kira-kira jam 6.50 petang 25 April lalu.
Hasil siasatan mendapati remaja terbabit dipercayai mengambil pil untuk menggugurkan kandungan berusia 22 minggu sebelum mengalami komplikasi apabila uri gagal dikeluarkan sepenuhnya.
Remaja berkenaan memaklumkan janin yang dilahirkan tidak bernyawa telah diambil teman lelakinya berusia lingkungan 18 tahun di rumahnya.
Suspek lelaki merancang untuk menanamnya di belakang rumah namun menyembunyikan janin tersebut terlebih dahulu di dalam sebuah kereta jenis Honda City di kediamannya. – MalaysiaGazette
















