Saifuddin Nasution Ismail semasa uji pandu kereta api sewaktu meninjau perkembangan projek RTS Link Johor Bahru-Singapura di ICQS di Stesen Bukit Cagar, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Lebih 20 juta rakyat Malaysia diminta supaya tidak berpusu-pusu menukar MyKad apabila dokumen pengenalan diri baharu itu dilancarkan pada 1 Jun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan tidak mewajibkan berbuat demikian meskipun MyKad baharu itu mempunyai pelbagai penambahbaikan daripada segi keselamatan dan teknologi.

“Undang-undang mengatakan setiap rakyat Malaysia apabila berumur 12 tahun wajib memiliki MyKad. Itu undang-undang. Tetapi undang-undang tidak mengatakan mulai 1 Jun apabila MyKad baharu dikeluarkan, pemegang MyKad lama wajib terus menukar kad mereka.

“Jadi apabila kita kata mulai 1 Jun kita akan memperkenalkan MyKad baharu dengan feature keselamatan baharu, itu yang kita maksudkan.

“Memiliki MyKad adalah satu kewajipan, tetapi tidak disebut semua rakyat perlu menukar kad secara serentak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau kemajuan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Stesen Bukit Cagar, di sini hari ini.

Katanya, ketika ini terdapat lebih 20 juta rakyat Malaysia yang mempunyai MyKad.

“Jadi saya minta jangan berpusu-pusu pada 1 Jun pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk tukar. Ambil masa sedikit,” ujarnya.

Terdahulu, pada 8 Januari lalu, media melaporkan Malaysia akan memperkenalkan pasport dan MyKad berwajah baharu dalam tempoh enam bulan lagi sebagai sebahagian usaha memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan negara.

Pengenalan dokumen baharu itu adalah satu pencapaian penting, khususnya ketika pasport Malaysia kini berada dalam kelompok pasport paling dipercayai di dunia. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast