Ketua Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh bercakap pada sidang media Rundingan Meja Bulat Naional (RIMBUN) 2.0 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 09 MEI 2026.
Ketua Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh bercakap pada sidang media Rundingan Meja Bulat Naional (RIMBUN) 2.0 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 09 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) yakin mampu terus mempertahankan pentadbiran di Johor dan Melaka walaupun bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada prestasi kerajaan negeri diterajui BN yang menurutnya berjaya membuktikan kemampuan mentadbir dengan baik serta stabil.

“Insya-Allah saya ada keyakinan yang sangat tinggi. Kalau kita ambil konteks Johor dan Melaka, hari ini kita tengok bahawa kerajaan Johor yang dipelopori Menteri Besarnya daripada BN mencatat pelaburan paling tinggi dalam Malaysia, malah tertinggi dalam sejarah.

“Ini menunjukkan bahawa kita ada bukti dan kemampuan untuk mentadbir negeri dengan baik,” katanya kepada media selepas program Rundingan Meja Bulat Nasional (Rimbun 2.0) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO dan BN hampir pasti bergerak solo pada PRU-16.

Menurut Dr Muhamad Akmal, kerajaan Melaka dan Johor di bawah pimpinan UMNO-BN ketika ini mempunyai rekod pentadbiran yang baik dan diyakini rakyat berdasarkan pencapaian semasa kedua-dua negeri tersebut.

“Saya percaya rakyat boleh faham dan rakyat akan memberikan sekali lagi kepercayaan kepada kerajaan BN di Johor dan Melaka, insya-Allah,” katanya.

Kenyataan itu dilihat memberi bayangan jelas bahawa UMNO-BN semakin bersedia untuk menguji kekuatan sendiri tanpa bergantung kepada rakan gabungan lain menjelang PRU-16 dan PRN akan datang.

Sebelum ini, spekulasi mengenai hala tuju UMNO-BN terus hangat diperkatakan selepas beberapa pemimpin parti memberi isyarat bahawa gabungan itu mahu kembali dominan sebagai kuasa politik utama Melayu.

Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijangka terbubar secara automatik pada 27 Disember ini manakala Johor pula pada 21 April tahun depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast