KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempelawa pemimpin dah ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat atau digantung menyertai parti itu.
Menurut beliau, UMNO bersedia menerima sesiapa sahaja tanpa syarat menerusi inisiatif Rumah Bangsa.
Sementelah, katanya, semua yang dipecat atau digantung itu juga berasal daripada `rahim’ UMNO, sekali gus ibarat sirih pulang ke gagang.
“Kembalilah ke RUMAH BANGSA! UMNO sedia menerima sesiapa sahaja tanpa syarat termasuk pimpinan dan ahli BERSATU yang dipecat atau digantung.
“Lagipun semuanya berasal dari RAHIM UMNO juga, bagaikan sirih pulang ke gagang,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Sementara itu, menerusi ruangan komen, Asyraf Wajdi berterima kasih kepada mereka yang mendaftar sebagai ahli baharu UMNO secara online sejak pelancarannya dua minggu lalu yang kini mencecah 17,000 orang.
“Yang mana masih belum mendaftar boleh daftar dengan mudah dan sepantas tak sampai 3 minit di: https://myumno.org/,” katanya.
Semalam, Bersatu dalam kenyataan memaklumkan pemecatan dua ADUN parti itu iaitu Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti) dan Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang).
Sementara itu, lima Ahli Parlimen turut digantung iaitu Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh); Abdul Khalib Abdullah (Rompin); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).
Turut digantung ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man dan ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain.
Pada masa sama, tiga Ahli Parlimen menerima notis amaran pelanggaran disiplin parti iaitu Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu); Zakri Hassan (Kangar) dan Kalam Salan (Sabak Bernam). – MalaysiaGazette
















