KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mendedahkan data pendidikan Bumiputera secara lebih telus bagi membolehkan dasar pendidikan dirangka berdasarkan realiti sebenar.
Pensyarah kanan dan penyelidik bidang Sosiologi Pendidikan di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, walaupun Bumiputera merangkumi lebih 70 peratus penduduk negara termasuk orang Melayu, masyarakat Orang Asli serta penduduk Sabah dan Sarawak, laporan pendidikan yang dibentangkan kerajaan kebanyakannya hanya memaparkan angka nasional tanpa perincian khusus mengenai keadaan pendidikan Bumiputera.
Katanya, pelbagai persoalan penting masih belum dijawab secara terbuka seperti jumlah murid Bumiputera yang gagal menguasai kemahiran membaca dan menulis pada usia 10 tahun, kadar kegagalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), keciciran daripada aliran Sains serta faktor kemasukan pelajar Bumiputera ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Jika sistem pendidikan negara bermasalah, kelompok paling besar menerima kesannya juga ialah Bumiputera sendiri kerana majoriti murid di sekolah kebangsaan terdiri daripada Bumiputera,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Beliau merujuk pendedahan Prof Emeritus Datuk Dr. Asma Ismail berhubung kajian Bank Dunia yang mendapati, 42 peratus kanak-kanak Malaysia masih berada dalam kemiskinan pembelajaran.
Namun menurutnya, tanpa pecahan data yang jelas mengikut kelompok masyarakat, sukar untuk kerajaan merancang penyelesaian pendidikan Bumiputera secara tepat dan berkesan.
Anuar berkata, negara tidak boleh terus berbangga dengan angka umum pendidikan sedangkan masalah sebenar mungkin semakin membesar tanpa disedari.
“Reformasi pendidikan bukan sekadar membina sekolah baharu atau mengumumkan pelan baharu setiap 10 tahun. Reformasi sebenar bermula dengan keberanian melihat data secara jujur,” katanya.
Beliau menegaskan, pendedahan data pendidikan Bumiputera bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya memastikan dasar pendidikan dibina berasaskan keadaan sebenar dan bukannya naratif politik semata-mata.
Tambah beliau, tanpa data yang jelas, negara hanya akan terus bercakap mengenai kejayaan pendidikan tanpa benar-benar memahami kelompok yang masih tercicir di belakang. – MalaysiaGazette
















