HARI Ibu sering diraikan sebagai simbol kasih sayang, pengorbanan dan ikatan yang tidak terputus antara seorang ibu dan anaknya. Bagaimanapun pada tahun 2025, ketika keluarga di seluruh Malaysia menyambut hari istimewa ini dengan penuh kegembiraan, negara turut digembarkan dengan sebuah insiden yang menyayat hati bahawa ikatan tersebut juga wujud di alam liar.
Pada awal pagi 11 Mei 2025, seekor anak gajah mati selepas dilanggar lori di Lebuhraya Gerik-Jeli. Rakaman video menyayat hati yang memaparkan ibu gajah berduka enggan meninggalkan anaknya, malah cuba menolak lori tersebut, menyentuh hati rakyat Malaysia dan mencetuskan seruan meluas agar perlindungan lebih kukuh diberikan kepada hidupan liar.
Tragedi itu bukan sekadar satu kemalangan. Ia turut menjadi gambaran berkenaan cabaran yang dihadapi gajah di jalan raya yang merentasi habitat semula jadi mereka.
Sebagai respons, WWF-Malaysia bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara menganjurkan satu perbincangan meja bulat mengenai keselamatan jalan raya untuk manusia dan hidupan liar di sepanjang Lebuhraya Gerik-Jeli, dengan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian jangka panjang untuk mengelakkan tragedi seumpama ini daripada berulang.
Sempena sambutan Hari Ibu tahun ini, rakyat Malaysia sekali lagi diingatkan tentang kecerdasan emosi gajah yang mendalam, haiwan yang terkenal dengan ikatan kekeluargaan dan naluri keibuan yang sangat kuat. Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, perhatian umum tertumpu kepada pemindahan tiga ekor gajah, Dara, Amoi dan Kelat dari Zoo Taiping & Night Safari ke Zoo Tennoji pada Mac 2026.
Pemindahan ini telah mencetuskan kebimbangan dan reaksi yang meluas daripada orang ramai, khususnya berkaitan kebajikan dan kesejahteraan jangka panjang gajah-gajah tersebut dalam kurungan. Dari sudut pendirian WWF-Malaysia, kami percaya bahawa semua hidupan liar seharusnya kekal di habitat semula jadi mereka dan tidak menyokong pemindahan gajah dari hutan untuk tujuan kurungan.
Sebaliknya, usaha perlu ditumpukan kepada menangani cabaran yang dihadapi gajah di habitat semula jadi mereka, termasuk pemecahan habitat, konflik manusia-gajah dan pemburuan haram. Apabila idea “Diplomasi Orang utan” kepada negara-negara dagang sawit dicadangkan pada tahun 2024, WWF-Malaysia juga tetap berpendirian cara terbaik untuk menunjukkan komitmen Malaysia terhadap pemuliharaan Orang utan adalah dengan memelihara baki hutan semula jadi yang menjadi habitat spesies tersebut.
Namun begitu, WWF-Malaysia mengiktiraf dalam keadaan tertentu, tindakan memindahkan gajah keluar dari habitat semula jadi mungkin tidak dapat dielakkan. Ini termasuk kes melibatkan anak gajah yatim yang diselamatkan dan tidak boleh dilepaskan
semula ke habitat liar, atau situasi konflik manusia-gajah yang serius sehingga menyebabkan kehilangan nyawa manusia atau kerosakan harta benda yang besar.
Dalam keadaan sedemikian, gajah-gajah ini berkemungkinan perlu kekal dalam kurungan untuk tempoh yang panjang dan langkah sewajarnya perlu diambil bagi melindungi kebajikan mereka serta memastikan penjagaan dan sokongan jangka panjang disediakan.
Dalam kes khusus melibatkan Dara, Amoi dan Kelat yang dipindahkan ke Zoo Tennoji, kami tidak mengetahui sepenuhnya keadaan yang membawa kepada keputusan tersebut. Pendirian WWF-Malaysia tidak menyokong translokasi gajah melainkan terdapat bukti yang mencukupi tindakan tersebut benar-benar diperlukan untuk melindungi kesejahteraan mereka.
Kami tetap teguh bahawa kebajikan dan perlindungan ketiga-tiga gajah tersebut tidak boleh dikompromi dan mesti selaras dengan Kod Etika dan Kebajikan Haiwan World Association of Zoos and Aquariums. Ini termasuk penyediaan ruang yang mencukupi untuk pergerakan bebas gajah, serta pengayaan dan makanan yang bersesuaian. Kami amat terharu dengan sentimen, keprihatinan dan sokongan kuat rakyat Malaysia terhadap gajah-gajah kita.
Di WWF-Malaysia, usaha kami diteruskan di seluruh negara untuk melindungi gajah dan spesies terancam lain melalui pemeliharaan dan pemulihan habitat serta koridor hidupan liar, pengurangan konflik manusia-hidupan liar, sokongan terhadap penguatkuasaan dan dasar pemuliharaan, serta kerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha pemuliharaan berasaskan sains.
WWF-Malaysia kekal komited terhadap perlindungan dan kebajikan hidupan liar, dan percaya bahawa setiap spesies berhak menerima penjagaan, penghormatan dan perlindungan sewajarnya. Ketika kita merenungi segala usaha ini, kita juga diingatkan tentang ikatan mendalam antara ibu dan anak di alam liar, khususnya dalam kalangan gajah, di mana hubungan tersebut amat kuat dan berkekalan. Dengan semangat itu, kami mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu di luar sana.
Artikel disumbangkan WWF-Malaysia
















