Tangkap layar sekumpulan lelaki yang terlibat kes kecurian kabel di kawasan Seksyen 2, Shah Alam yang tular di media sosial pada 2 Mei lalu.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya memberkas sekumpulan lelaki yang terlibat kes kecurian kabel di kawasan Seksyen 2, Shah Alam yang tular di media sosial pada 2 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, enam suspek lelaki suspek berusia 24 hingga 40 tahun ditahan menerusi operasi bersepadu di sekitar Lembah Klang, pada 4 hingga 9 Mei lalu.

Katanya, tangkapan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dengan kerjasama Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Seksyen 9 dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Siasatan awal mendapat, kesemua suspek mempunyai tujuh hingga 31 rekod jenayah lampau termasuk dadah.

“Manakala hasil saringan  air kencing mendapati, empat daripada mereka turut positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, polis turut merampas sebuah Nissan Navara, tiga gulung kabel milik Telekom Malaysia dan peralatan digunakan suspek ketika mencuri kabel.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” jelasnya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Shah Alam, Insp Mohammad Amirul Zulkifli di talian 012-5583436 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 14 saat memaparkan beberapa lelaki menggunakan beberapa kenderaan, termasuk pacuan empat roda untuk mencuri kabel pada waktu malam di sekitar Seksyen 2, Shah Alam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast