Sebuah gudang perabot musnah terbakar kira-kira 80 peratus dalam kejadian berdekatan Diamond City, Jalan Broga, Semenyih, Selangor hari ini. - Foto JBPM Selangor

KUALA LUMPUR – Sebuah gudang perabot musnah terbakar kira-kira 80 peratus dalam kejadian berdekatan Diamond City, Jalan Broga, Semenyih, Selangor hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.45 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih dan jentera pertama tiba di lokasi kira-kira empat minit kemudian di lokasi kejadian.

“Sebaik pasukan tiba mendapati, kebakaran melibatkan sebuah gudang perabot jenis bangunan kelas B dengan anggaran kemusnahan sebanyak 80 peratus.

“Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan kerja-kerja pemadaman masih giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Kajang, BBP Bangi, BBP Pandan Indah, BBP Mantin serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Serdang.

“Seramai 27 anggota bersama beberapa jentera dikerahkan ke lokasi bagi mengawal dan memadam kebakaran.

“Bagaimanapun, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast