Dr. Mohd Sirajuddin Siswadi Putera Mohamed Shith.

MAKKAH – Jemaah haji yang keluar dari Makkah melebihi dua marhalah untuk ke Taif sebelum hari wukuf dan gagal berniat ihram haji atau umrah ketika masuk semula ke Tanah Haram boleh dikenakan dam isa’ah tertib dan taqdir iaitu wajib menyembelih seekor kambing.

Penjelasan dibuat susulan terdapat segelintir jemaah haji Malaysia yang telah menyelesaikan ibadah umrah dilaporkan keluar dari Mekah dan menuju lokasi melebihi dua marhalah (lebih 81 kilometer) seperti Taif bagi tujuan ziarah sebelum Hari Wukuf.

Pakar Rujuk Haji, Lembaga Tabung Haji, Dr. Mohd Sirajuddin Siswadi Putera Mohamed Shith berkata, jemaah haji yang keluar dari Makkah ke lokasi seperti Taif sebelum wukuf perlu memahami implikasi hukum dan peraturan ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi bagi mengelakkan timbul isu ibadah dan masalah keselamatan.

Dr. Mohd Sirajuddin Siswadi Putera Mohamed Shith.

Beliau menjelaskan, implikasi hukum tersebut bergantung kepada jenis haji yang dilaksanakan sama ada ifrad, qiran atau tamattuk.

Menurut beliau, jemaah haji ifrad dan qiran yang masih berada dalam ihram tidak berdepan masalah sekiranya keluar dari Makkah walaupun melepasi dua marhalah atau kawasan miqat.

“Tiada implikasi hukum kerana mereka masih berada dalam keadaan berihram haji.

“Namun bagi jemaah haji tamattuk yang telah selesai umrah dan bebas daripada larangan ihram kecuali larangan memotong tumbuhan dan memburu binatang buruan di Tanah Haram Makkah, mereka wajib berniat ihram semula sama ada ihram haji atau umrah apabila mahu masuk ke Makkah selepas keluar ke Taif,” katanya ketika ditemui di Pejabat Tabung Haji di sini.

Mohd Sirajuddin menambah, sekiranya jemaah haji tamattuk memilih untuk berniat haji di miqat di Wadi Mahram dekat Taif, mereka boleh meneruskan ibadah haji tanpa dikenakan dam tambahan.

Bagaimanapun, katanya, jika mereka masuk semula ke Makkah tanpa berniat ihram haji atau umrah, mereka dianggap melangkaui miqat tanpa ihram dan dikenakan dam isa’ah selain dam tamattuk yang juga mensyaratkan dam seekor kambing.

Mohd Sirajuddin menjelaskan, berdasarkan Resolusi Muzakarah Kebangsaan Kali Ke-36 Musim Haji 1441H/2019M, sekiranya jemaah haji tamattuk pergi ke Taif sebelum wukuf, mereka wajib berniat ihram umrah sekurang-kurangnya di Qarnul Manazil kerana mereka ada kehendak untuk mengerjakan haji semasa masuk Makkah.

“Resolusi itu menyebut jika jemaah haji tamattuk yang pergi ke Taif berniat haji di Qarnul Manazil, jadilah haji tersebut haji tamattuk yang tidak dikenakan dam tertib dan taqdir kerana telah kembali ke miqat asal atau mana-mana miqat yang lima untuk berniat haji.

“Selain itu, jika jemaah haji pergi ke Taif selepas wukuf dan setelah selesai kerja-kerja haji, wajib berniat ihram umrah di miqat Qarnul Manazil sekiranya mereka ada hasrat untuk mengerjakan umrah. Sekiranya tiada hasrat untuk mengerjakan umrah mereka tidak wajib berniat ihram.

“Ini kerana perjalanan dari Taif misalnya akan melalui kawasan yang sejajar dengan Qarnul Manazil. Jika mereka tidak berniat ihram di situ dan hanya berniat haji apabila tiba di Makkah pada 8 Zulhijjah sebelum berangkat ke Arafah, maka dam tambahan itu dikenakan,” jelas Mohd Sirajuddin lagi.

Menurut beliau, jemaah dalam keadaan itu seolah-olah menanggung dua dam iaitu dam tamattuk yang sedia ada serta satu lagi dam tertib dan taqdir kerana melanggar miqat tanpa ihram, iaitu menyembelih seekor kambing.

Tambah beliau, walaupun terdapat jemaah yang mempunyai ilmu dan pengalaman untuk bergerak sendiri, mereka tetap perlu mematuhi peraturan demi menjaga kemaslahatan bersama.

“Kalau berlaku apa-apa nanti yang susah bukan sahaja jemaah tetapi juga pihak pentadbiran yang terpaksa menguruskan pelbagai perkara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan pengecualian tertentu diberikan kepada petugas haji yang perlu berulang-alik antara Jeddah, Madinah dan Makkah atas urusan rasmi.

Bagaimanapun katanya, bagi kemasukan terakhir mereka ke Makkah sebelum wukuf, petugas tetap diwajibkan berniat ihram di miqat yang ditetapkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast